Selangor tetap tenang walaupun jadual padat

Selangor tetap tenang walaupun jadual padat

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jadual padat yang diharungi Selangor FC apabila terpaksa beraksi empat perlawanan dalam tempoh 15 hari sebenarnya cukup menduga pasukan itu.

Namun ia bukan penghalang buat Red Giants untuk tampil bertenaga apabila dijadual beraksi menentang Muangthong United dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Khamis ini.

Menurut penolong jurulatih, Abdi Hassan, pemain Selangor FC perlu segera cergas untuk aksi ACL2 selepas beraksi menentang Sri Pahang dalam saingan Piala Malaysia di Temerloh, Sabtu lalu.

Lantas, beliau mahu barisan pemain memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri sekali gus layak ke pusingan kalah mati lebih awal.

“Ia jadual yang agak padat untuk kita. Kita harungi empat perlawanan dalam tempoh 15 hari, namun sudah pasti kesemua pemain dan barisan kejurulatihan mahu pastikan kita bersedia untuk harungi cabaran di ACL2.

“Kita cuba pastikan (menang ke atas Muangthong United) untuk layak ke pusingan berikutnya,” katanya.

Buruan tiga mata penuh dilihat tidak mustahil di mana tahap motivasi pemain Selangor FC kini dalam keadaan optimum selepas kehadiran pengendali baharu dari Jepun, Katsuhito Kinoshi.

Kinoshi diumum secara rasminya pada Ahad lalu untuk menggantikan Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan bulan lalu.

Ketika ini, Selangor FC menghuni tangga kedua Kumpulan H dengan tujuh mata selepas merakam dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan untuk berada di belakang pendahulu dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai dengan sembilan mata.

Jika menang ke atas Muangthong United Khamis ini, anak buah Kinoshi akan menempah slot ke pusingan 16 terbaik biarpun masih memiliki baki satu aksi kumpulan menentang Cebu FC dari Filipina bulan depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top