Dubai: Cadangan perjanjian antara Iran dan Oman bagi membantu menamatkan perang lima bulan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) akan memberikan Tehran kuasa mengawal kapal yang memasuki Teluk Parsi melalui Selat Hormuz, menurut seorang sumber kanan Iran dan dua pegawai serantau kepada Reuters pada semalam.
Langkah itu dilihat sebagai antara kompromi terbesar yang pernah diberikan kepada Iran.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh AS mengenai cadangan itu.
Walaupun Presiden Donald Trump berkata, perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz dijangka dimeterai dalam masa terdekat, pegawai AS sebelum ini berulang kali menegaskan mereka tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian yang memberi Iran dengan kuasa mengawal laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia itu.
Sekiranya perjanjian itu dimeterai, ia bermakna perang yang dilancarkan AS dan Israel pada Februari lalu mengubah keseimbangan kuasa di rantau itu dengan memberi kelebihan besar kepada Iran.
Sebelum perang tercetus, Selat Hormuz terbuka kepada semua kapal tanpa sebarang bayaran dikenakan.
Dalam usaha diplomatik yang lebih meluas di rantau itu, Iran dan Oman kini mengadakan rundingan dua hala mengenai pengurusan Selat Hormuz yang dikawal kedua-dua negara menerusi laluan utara dan selatan.
Iran memaklumkan, rundingan itu menunjukkan kemajuan ketara dan menyatakan kapal yang keluar dan masuk akan melalui perairan Iran.
Berhubung cadangan perjanjian Iran dan Oman, sumber serantau serta Iran yang ditemui Reuters berkata, masih terdapat beberapa isu penting yang belum diselesaikan.
Mereka turut menolak kenyataan Trump yang menyatakan perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz hampir dimuktamadkan.
“Kompromi untuk memberi Iran satu bentuk kawalan ke atas Selat Hormuz sebenarnya sudah dipersetujui,” kata salah seorang sumber serantau.
Seorang lagi sumber berkata, beberapa butiran masih perlu diputuskan, termasuk bagaimana istilah ‘kawalan’ itu akan ditakrifkan.
Negara Teluk mahu pemeriksaan kapal diselia oleh negara serantau, manakala sebarang bayaran yang dikenakan hendaklah dibuat secara sukarela.
Menurut sumber kanan Iran, Tehran mahu mengenakan bayaran antara lima hingga tujuh peratus daripada nilai muatan kapal yang menggunakan Selat Hormuz.
Oman pula mencadangkan kadar kira-kira tiga peratus, manakala AS mahu laluan itu dibuka tanpa sebarang bayaran.
Sumber kanan Iran berkata, draf perjanjian yang sedang dirunding memberi Iran kuasa mengawal kapal yang memasuki Teluk Parsi melalui Selat Hormuz.
Namun, antara isu utama yang masih dibincangkan ialah sejauh mana kuasa Iran terhadap kapal yang keluar dari Teluk Parsi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




