Selat Hormuz tidak ditutup, Iran jamin laluan perdagangan selamat

Selat Hormuz tidak ditutup, Iran jamin laluan perdagangan selamat

KUALA LUMPUR— Iran memberi jaminan laluan perdagangan menerusi Selat Hormuz selamat dan tidak terjejas walaupun negara itu kini menghadapi konflik dengan Israel.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata, pihaknya komited memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau Teluk Parsi serta Asia Barat dengan mengambil kira kepentingan ekonomi negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Menurutnya, Iran sentiasa berusaha memastikan wilayah itu kekal aman kerana ia merupakan kawasan penting bagi perdagangan antara negara.

“Kami sentiasa pastikan Selat Hormuz berada dalam kawalan keselamatan terbaik dan tidak berhasrat untuk menutup laluan tersebut.

“Iran tidak mengehadkan sebarang laluan dagangan dan kami sentiasa mahukan kawasan ini terbuka untuk perdagangan serta kerjasama ekonomi dengan negara jiran, termasuk juga negara luar seperti Malaysia.

“Dalam masa sama, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran dua hari lalu bagi membincangkan kerjasama dalam menjamin keamanan serantau serta membina kerangka kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Iran memberi jawapan balas kepada tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara ke atas tiga lokasi nuklear utama di wilayah tengah dan utara Iran pada Ahad.

Jawapan balas itu melibatkan cadangan Parlimen Iran untuk menutup Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting kepada bekalan minyak global, menurut sumber seorang ahli jawatankuasa keselamatan Parlimen.

Dalam pada itu, Valiollah turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan Malaysia kepada Iran, khususnya dalam isu yang melibatkan tindakan Israel yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Sebahagian besar daripada mereka menyokong Iran dan menolak tindakan Israel.

“Malaysia sebagai Pengerusi Asean ketika ini mempunyai suara yang kuat di peringkat antarabangsa termasuk dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan Israel.

“Kami percaya Malaysia boleh memainkan peranan dalam menggesa komuniti antarabangsa menghentikan sebarang bentuk pencerobohan Israel ke atas mana-mana negara di rantau ini,” ujarnya.

Valiollah turut menegaskan pendirian Iran yang tidak berbelah bahagi dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang penindasan dan pendudukan Israel.

“Kami menyokong rakyat Palestin bukan hanya dari sudut politik, tetapi juga melalui bantuan ilmu, teknologi, makanan dan keperluan asas lain. Ini adalah dasar kami dan kami akan teruskan.

“Itu adalah hak rakyat Palestin untuk berjuang mempertahankan tanah mereka. Kami akan terus menyokong perjuangan ini hingga ke akhirnya,” katanya.

Scroll to Top