Selebriti, ahli perniagaan 'liat' bayar cukai jalan, insurans kenderaan mewah

Selebriti, ahli perniagaan 'liat' bayar cukai jalan, insurans kenderaan mewah

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selebriti dan ahli perniagaan antara pemilik kenderaan mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche yang dikesan ‘liat’ membayar cukai jalan dan perlindungan insurans dalam tempoh yang lama.

Mereka menggunakan alasan jarang menggunakan kenderaan berkenaan dan hanya digunakan sebagai weekend car (kereta yang hanya digunakan pada hujung minggu).

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan maklumat, kenderaan mewah itu tidak digunakan setiap hari sebaliknya dipandu pada hujung minggu dan hari tertentu.

“Namun, perkara ini tetap menjadi satu kesalahan kerana cukai jalan dan insurans tidak diperbaharui dalam tempoh masa yang lama.

“Mungkin bagi individu ini, jarang guna menyebabkan tidak perlu memperbaharui cukai jalan dan insurans sedangkan ia adalah satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya mengesan kenderaan mewah ini berada di atas jalan raya.

“Kita sudah kenal pasti pemilik kenderaan mewah ini, jika kita kesan kenderaan ini dipandu mereka dan berada di atas jalan raya kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan JPJ mempunyai senarai lebih 1,000 kenderaan mewah di Malaysia yang tidak memperbaharui cukai jalan untuk satu tempoh yang panjang.

Sebanyak 53 kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit setiap satu, disita baru-baru ini menerusi Ops Luxury selama tiga hari sekitar Lembah Klang bermula 30 Julai lalu.

Untuk rekod setakat ini sebanyak 154 kenderaan mewah sudah disita oleh JPJ menerusi dua siri Ops Luxury iaitu pada bulan Jun dan Julai lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top