Selebriti bukan golongan kayangan, saya & isteri pernah dikompaun – Shuib

Jika bercakap soal prosedur operasi standard (SOP), segelintir warganet di media sosial pasti meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila mendakwa terdapat perbezaan layanan antara rakyat marhaen dan golongan kayangan.

Bagi pelawak dan usahawan Shuib, dia menolak dakwaan selebriti adalah golongan kayangan yang tidak akan menerima hukuman sekiranya melanggar SOP.

Menerusi laporan Utusan Online, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad menyifatkan semua rakyat adalah sama dan tidak melihat wujudnya perbezaan hukuman terhadap golongan tertentu.

“Sama sahaja, saya dan isteri dikompaun RM1,000 seorang kerana melanggar SOP. Kami mengakui kesalahan dan tidak ada pengecualian dalam menerima hukuman.
“Tetapi kesalahan itu bukan kerana merentas negeri. Sebab soal merentas negeri kami mempunyai dokumen lengkap berkaitan kerja,” katanya.

Pemilik jenama minuman air boba Bubble Bee itu menjelaskan, dia sendiri tidak pernah mendapat layanan istimewa sebagai seorang selebriti kerana semua rakyat adalah sama dari segi undang-undang.

“Tidak wujud golongan kayangan atau apa. Sebab di mata undang-undang kita semua sama. Termasuklah menteri sekalipun,” ujarnya.

Pada Februari lalu, Shuib dan isterinya Siti Sarah dikompaun RM1,000 setiap seorang selepas didapati mengingkari SOP di sebuah restoran di Kuala Lipis.

Pasangan tersebut didapati duduk di sebuah meja yang melebihi dua orang selain tiada penjarakan fizikal seperti prosedur ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber: Utusan Online (Aida Rizmariza Kamaruddin)