Selebriti tangisi pemergian Mamat Khalid – Utusan Digital

IPOH: Rakan selebriti meratapi pemergian pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58, yang meninggal dunia di Hospital Slim River, dekat sini tengah malam semalam selepas pengsan di restoran miliknya di Tanjung Malim.

Antara artis yang menziarahi jenazah Mamat Khalid di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini dan pengebumian semalam ialah Datuk Awie, Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa; Bell Ngasri, Khir Rahman, Zul Ariffin, Zahiril Adzim, Bront Palarae dan Pekin Ibrahim selain Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Rakan artis menyifatkan pemergian Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid secara mengejut sebagai kehilangan besar kepada industri filem tanah air selain seorang pengarah yang sukar dicari ganti.

Awie menyifatkan Allahyarham sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua kru serta seorang yang periang walaupun nampak garang.

Menurutnya, arwah penghibur di kala ada orang yang bermasalah di lokasi penggambaran dan pada masa sama mengajar pelakon hingga dapat membawa watak yang lebih baik.

“Dia yang membawa saya hingga kekal sebagai watak Husin (Kampung Pisang). Sehingga ke akhir arwah memanggil saya dengan watak itu,” katanya.

ALLAHYARHAM MAMAT KHALID

Bell Ngasri pula berkata, kehilangan Mamat Khalid satu kejutan besar buat rakan artis dan masyarakat keseluruhannya yang meminati karya-karya Allahyarham.

“Sebenarnya kami akan mulakan penggambaran baru sekuel Kampung Pisang, namun saya betul-betul tak sangka arwah pergi dahulu. Allah lebih sayangkan beliau.

“Beberapa minggu lepas, kami buat penggambaran rancangan memasak dan dalam rancangan itu, saya berlakon dengan arwah sedangkan beliau memang orang kenal sebagai pengarah tapi untuk rancangan itu, saya berlakon dengan beliau.

“Itu pengalaman terakhir saya dengan dia, saya dapat berlakon dengan Allahyarham. Watak Barkoba (Filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid), orang suka,” katanya.

Sementara itu, menurut anak Allahyarham, Mohd. Khalid Amen, 25, bapanya sempat membuat persembahan di kafenya di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River semalam.

Menurutnya, bapanya bermain keyboard mengalunkan lagu Apokalips kegemarannya di hadapan ahli keluarganya sebelum secara tiba- tiba bapanya terdiam.

“Saya dan ahli keluarga terus menerpa ke arahnya, dia tidak mengadu sakit apa-apa pun ketika itu.

“Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh di sini pada pukul 2.20 petang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Hospital Slim River ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 sekitar pukul 6 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 1.53 petang.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam.

Pengebumian jenazah Allahyarham dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, penduduk kampung dan rakan-rakan artis. – UTUSAN ONLINE