Gaza: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada minggu ini mengumumkan minggu ini beberapa sekolah di wilayah itu dibuka semula susulan permulaan gencatan senjata di Gaza dengan kanak-kanak kembali ke kelas secara beransur-ansur.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata di platform X pada Selasa bahawa lebih 25,000 murid sekolah menyertai “ruang pembelajaran sementara” yang disediakan agensi itu, manakala kira-kira 300,000 murid akan mengikuti kelas secara dalam talian.
Di Sekolah Al Hassaina di barat Nuseirat di tengah Gaza pada Sabtu, sesi pembelajaraan baru sahaja disambung semula walaupun terdapat kekurangan bilik darjah yang boleh digunakan.
Pelajar, Warda Radwan, 11, berkata, dia tidak sabar untuk kembali ke rutin pembelajarannya.
“Saya kini dalam darjah enam tetapi saya kehilangan dua tahun persekolahan kerana perpindahan dan perang,” katanya kepada AFP.
Semasa perang dua tahun antara Israel dan Hamas, Sekolah Al Hassaina seperti banyak kemudahan UNRWA lain di seluruh wilayah itu menjadi pusat perlindungan untuk puluhan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Kehadiran mereka masih jelas kelihatan dengan deretan ampaian di ketiga-tiga tingkat bangunan itu.
Radwan berkata, kelas “dimulakan semula secara perlahan-lahan” apabila sekolah itu dikosongkan daripada keluarga yang berlindung di situ.
Di halaman sekolah pada Sabtu, pelajar perempuan berbaris untuk perhimpunan pagi, melakukan senaman regangan di bawah pengawasan guru mereka dan melaungkan: “Hidup Palestin!”
Apabila kelas bermula, kira-kira 50 pelajar perempuan bersesak-sesak di dalam sebuah bilik darjah, duduk di atas lantai tanpa meja atau kerusi.
Mereka menjawab soalan guru dengan penuh semangat dan menyalin pelajaran dari papan hitam ke dalam buku nota mereka, gembira dapat kembali ke sekolah selepas dua tahun.
Sebuah lagi bilik darjah menempatkan jumlah pelajar perempuan yang lebih tua dalam lingkungan remaja yang sama.
Keadaannya serupa apabila semuanya duduk di atas lantai dengan buku nota di atas riba mereka.
Jenin Abu Jarad, seorang saudara kepada salah seorang pelajar berkata, dia bersyukur melihat kanak-kanak itu kembali ke kelas.
“Sejak 7 Oktober, tiada sekolah untuk anak-anak kami. Sepanjang tempoh ini, apa yang mereka boleh lakukan hanyalah mengambil air, mendapatkan makanan atau bermain di jalanan tetapi syukurlah, kira-kira seminggu hingga 10 hari lalu, sekolah mula dibuka semula secara beransur-ansur,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




