norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ikatan rumah tangga 22 tahun pelakon, Edika Yusof, 58, dan isteri, Nor Hidayah Yusri, 47, akhirnya terlerai apabila mereka sah bercerai talak satu, jam 10.42 pagi ini.
Terdahulu, pasangan itu hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini bagi bagi sebutan ketiga kes perceraian antaranya dan Nor Hidayah yang difailkan wanita itu pada Februari lalu.
Edika atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abd Majid kekal setuju melafazkan cerai dan mahkamah juga membenarkan permohonan Nor Hidayah selaku plaintif.
Permohonan perceraian itu difailkan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1986
Sebelum ini, pada sebutan kedua pada 23 April lalu, Edika tidak dapat melafazkan cerai terhadap Nor Hidayah kerana wanita ituberada dalam keadaan tidak suci.
Kemelut penceraian pasangan ini mendapat perhatian ramai berikutan Edika dan Nor Hidayah sebelum ini dilihat cekal dan sabar menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan sejak 19 tahun lalu selepas melahirkan anak kedua mereka.
Edika dan Nor Hidayah bernikah pada 2003 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.
© New Straits Times Press (M) Bhd




