Selepas 22 tahun tak beraksi, Ziana Zain bakal jayakan konsert solo

Selepas 22 tahun tak beraksi, Ziana Zain bakal jayakan konsert solo

Selepas 22 tahun, akhirnya penyanyi popular Ziana Zain bakal beraksi secara solo di Ziana Zain Konsert 2024 pada 25 Mei tahun hadapan.

Dipersembahkan oleh CSA Academy sebagai penaja utama, konsert ini merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Sdn Bhd dengan kerjasama Altus Prohouse  yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Kali terakhir penyanyi berusia 55 tahun itu mengadakan konsertnya adalah pada tahun 2001 menerusi Ziana Zain In The Park di PWTC Kuala Lumpur.

Ziana Zain Konsert 2024  bakal menjadi tanda aras buat selebriti untuk kembali hiburkan peminat menerusi album popularnya seperti Madah Berhelah, Setia Ku Disini, Puncak Kasih dan banyak lagi.

Menurut Pengasas dan Pegawai Eksekutif CSA Academy Sdn Bhd, Dr Jay Ong, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain merupakan Top 3 artis kegemaran ahli Wira CSA.

“Kerjasama ini tidak hanya sebagai penghargaan kami kepada ahli dan sumbangan budaya, tetapi juga mencerminkan komitmen kami dengan Ziana terhadap penglibatan masyarakat serta tanggungjawab sosial,” katanya.

Ziana Zain Konsert 2024 akan mempersembahkan gabungan hasil kreatif muzik dan pentas daripada Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik bersama 16 orang pemuzik professional selain Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert.

Sementara itu bagi Ziana, dia akan memastikan terdapat keistimewaan yang akan dipersembahkan supaya menjadi memori yang indah buat para peminat.

“Sebab itu saya sangat berhati-hati untuk melakukan konsert dan 25 Mei 2024 adalah momen terbaik untuk CSA Academy ‘Mempersembahkan Ziana Zain Konsert 2024’ dilaksanakan buat anda semua.
“Tunggu dan lihat apa yang akan dipersembahkan dalam konsert ini nanti. Yang pasti ia akan melambangkan perjuangan saya dalam dunia seni sepanjang 33 tahun ini,” ujarnya.

Tiket akan mula dijual pada 15 Disember 2023 jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my/zianazain.

Pembelian tiket secara ‘Buy Now Pay Later’ juga turut disediakan dengan harga bermula RM288 (Gold), RM488 (Platinum), RM 688 (Diamond), RM888 (VIP 2), dan RM1088 (VIP 1).