Selepas 30 tahun, Joey Daud kembali dengan Wamwamsam

Selepas 30 tahun, Joey Daud kembali dengan Wamwamsam

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Fobia selepas dua albumnya pada 1990-an digam, pelakon, pelawak dan penyanyi, Joey Daud kembali ke dunia nyanyian selepas hampir tiga dekad tidak mengeluarkan lagu.

Joey, 52, ketika ditemui di sidang media pelancaran single baharunya berjudul Wamwamsam berkata, sehingga kini, perasaan itu masih bersisa, namun, minatnya dalam muzik dan nyanyian tidak pernah pudar.

“Memang dah sangat lama. Kalau ikutkan, hampir 30 tahun. Saya datang ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1992, kemudian pada 1994 dan 1996 semata-mata untuk kejar impian jadi penyanyi.

“Tapi selepas dua album saya digam, saya terus berhenti. Saya jadi takut untuk kembali menyanyi, walaupun suara dan minat itu masih ada. Sampai sekarang pun fobia itu belum hilang sepenuhnya,” katanya kepada Harian Metro.

Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud berkata, situasi itu membuatkan dia berasa seolah-olah dunia muzik bukanlah cabang seni yang sesuai untuknya.

“Saya ingat lagi album pertama saya bertajuk Beradu Suratan dan album kedua bertajuk Joey. Dua-dua digam. Lagu tak sempat nak pergi jauh pun, terus kena sekat.

“Lebih menyedihkan, bila album itu sampai ke Indonesia, sambutan sangat baik. Hampir 800,000 unit album terjual di sana, tapi ketika itu Indonesia dilanda rusuhan. Banyak bangunan dibakar, termasuk pejabat BMG Indonesia yang terbitkan album saya pun terbakar.

“Saya tak sempat dapat apa-apa, termasuk royalti. Jadi, saya tak rasa hasil daripada jualan album yang laris itu, walaupun sebenarnya ia berjaya dari segi angka.

“Bukannya putus asa, tapi saya lebih kepada rasa pasrah. Saya mula fikir mungkin saya patut cuba cabang seni lain. Dan pada tahun 2000, saya mula berlakon,” katanya.

Terbaharu, Joey bersama Ilham Nasir dan Hidayat Nasir menghasilkan lagu berjudul Wamwamsam, yang juga menjadi runut bunyi (OST) filem Daud M Origin yang akan memulakan penggambaran pada hujung tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top