KUALA LUMPUR: Khabar mengenai pertunangan antara penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah bersama ahli politik, Syed Saddiq terus menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan termasuk rakan selebriti.
Antara yang turut meluahkan rasa syukur dan kegembiraan ialah pelakon, Riena Diana.
Menurut Riena, dia menyifatkan kebahagiaan tersebut sebagai sesuatu yang selayaknya buat Bella setelah melalui pelbagai ujian kehidupan.
Tambah Riena, perjalanan yang dilalui sahabatnya itu bukanlah mudah, namun ketabahan Bella menjadi bukti kekuatan dirinya.
“Selepas segala yang dia lalui, dan apa yang kita sendiri saksikan, dia benar-benar layak untuk bahagia. Ia bukan satu perjalanan yang mudah, tetapi dia kekal kuat dan terus melangkah.
“Tidak semua orang memahami kisahnya, tetapi kami melihat sendiri bagaimana dia berjuang untuk sampai ke tahap ini. Jadi, sekurang-kurangnya kita boleh menyokong dan benar-benar gembira untuknya.
Tiada negatif, hanya kasih sayang dan aura positif. Saya sangat gembira untuknya,” katanya.
Sementara itu, pelakon senior, Datin Seri Paduka Umie Aida turut berkongsi pandangan penuh makna di mana dia melihat pertunangan tersebut sebagai satu permulaan yang diberkati.
“Alhamdulillah, satu permulaan yang baik. Satu langkah yang menunjukkan kesungguhan dalam sebuah hubungan.
“Satu saja pertanyaan kita pada Bella, ‘Macam mana hubungan Syed dengan anak-anak?’ Masya-Allah… di situlah jawapannya.
“Rezeki anak-anak Bella, dipertemukan dengan seorang lelaki yang hadir bukan sekadar sebagai pasangan, tetapi sebagai seorang ‘daddy’ yang menerima mereka sepenuh hati, tanpa batas, tanpa syarat.
“Rezeki anak-anak, tahniah buat mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq dilaporkan bakal mengikat tali pertunangan selepas berita gembira tersebut diumumkan menerusi perkongsian Syed Saddiq di platform media sosialnya hari ini.




