Selepas empat tahun berselisih, Harry bawa keluarga bertemu ayahanda Raja Charles

Selepas empat tahun berselisih, Harry bawa keluarga bertemu ayahanda Raja Charles

LONDON – Selepas bertahun-tahun hubungan dingin dan pelbagai kontroversi yang membelenggu keluarga diraja Britain, Raja Charles III akhirnya bertemu semula Putera Harry, Meghan Markle serta dua cucu baginda, Putera Archie dan Puteri Lilibet, dalam satu pertemuan keluarga tertutup yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah perdamaian.

Pertemuan yang berlangsung pada Jumaat di Highgrove House, kediaman persendirian Raja Charles di Gloucestershire, England itu menandakan kali pertama baginda bertemu keseluruhan keluarga Harry dalam tempoh empat tahun.

Buckingham Palace mengesahkan Raja Charles dan Permaisuri Camilla menerima kunjungan Duke dan Duchess of Sussex bersama anak-anak mereka dalam suasana santai dan bersifat peribadi.

Harry yang menetap di California bersama keluarganya sejak meninggalkan tugas rasmi diraja pada 2020, tiba di Britain awal minggu ini bagi menghadiri beberapa program kebajikan termasuk acara sempena kira detik setahun menjelang Sukan Invictus yang diasaskannya.

Sejak ketibaannya, perhatian media Britain tertumpu kepada satu persoalan utama – adakah beliau akan bertemu bapanya dan sama ada Meghan serta dua anak mereka akan turut serta dalam lawatan itu.

Spekulasi berkenaan akhirnya terjawab apabila Archie dan Lilibet dibawa bersama untuk bertemu datuk mereka yang kini berusia 77 tahun.

Menurut laporan media antarabangsa, Raja Charles sebelum ini hanya pernah bertemu Archie dan Lilibet ketika sambutan Jubli Platinum mendiang Ratu Elizabeth II pada 2022.

Kini, kedua-dua kanak-kanak itu masing-masing berusia tujuh dan lima tahun.

Pihak istana difahamkan tidak akan mengeluarkan sebarang gambar atau butiran lanjut mengenai pertemuan tersebut kerana ia dianggap sebagai acara keluarga tertutup.

Pertemuan itu berlaku ketika hubungan antara Harry dan keluarga diraja masih dalam proses pemulihan selepas beberapa tahun penuh ketegangan.

Keretakan hubungan bermula apabila Harry dan Meghan melepaskan peranan rasmi mereka dalam institusi diraja sebelum berpindah ke Amerika Syarikat untuk memulakan kehidupan baharu.

Hubungan itu dilihat semakin meruncing selepas Harry menerbitkan memoir kontroversi Spare, yang mengandungi pelbagai dakwaan serta pendedahan mengenai keluarganya.

Antara isu yang turut mencetuskan ketegangan ialah pertikaian Harry dengan media Britain dan pertempuran undang-undang yang sering mendapat perhatian umum.

Malah, lawatan kali ini turut berlangsung ketika Harry baru sahaja tewas dalam kes saman terakhirnya terhadap penerbit akhbar Britain berhubung dakwaan pencerobohan privasi.

Namun begitu, Harry secara terbuka sebelum ini menyatakan hasrat untuk berdamai dengan keluarganya, terutama selepas Raja Charles menjalani rawatan bagi penyakit kanser yang tidak didedahkan secara terperinci.

Dalam wawancara bersama BBC tahun lalu, Harry berkata, beliau mahu menamatkan persengketaan yang berlarutan.

“Saya mahu berdamai dengan keluarga saya. Tiada gunanya terus bertelagah,” katanya ketika itu.

Pertemuan di Highgrove House dilihat sebagai petanda positif bahawa kedua-dua pihak bersedia membuka lembaran baharu selepas beberapa tahun hubungan mereka terjejas oleh konflik keluarga, tekanan media dan perbezaan pandangan mengenai peranan institusi diraja moden.

Walaupun tiada gambar rasmi akan dikongsi kepada umum, pertemuan itu sudah cukup mencetuskan harapan bahawa hubungan antara Raja Charles dan anak bongsunya kini semakin pulih, sekali gus memberi peluang kepada baginda meluangkan masa bersama dua cucunya yang semakin membesar jauh dari Britain. – Awani

Scroll to Top