MANA tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, pepatah yang sangat tepat menceritakan dari mana asalnya bakat yang dimiliki penyanyi baharu, Yulia Kamelia. Berkat sokongan ibu yang suka bernyanyi dan bapa seorang pemuzik, bakat suara gadis berusia 25 tahun ini sudah dikesan sejak kecil.
Mula mencari laluan dalam dunia seni, Yulia mula menyertai pelbagai program pencarian bakat antaranya I Can See Your Voice, All Together Now, dan pertandingan Bintang Klasik RTM. Baginya, setiap jatuh bangun dalam program tersebut adalah proses pembelajaran berharga untuk membuatnya semakin yakin melangkah jauh.
Sebelum bergelar penyanyi arus perdana, Yulia rupanya merupakan artis budaya yang berkhidmat di Jabatan Penerangan.
“Saya bukan sahaja menyanyi, tapi saya menari, berlakon dan sesekali menjadi pengacara majlis. Cuma saya baru empat bulan bekerja di sana, pendek kata masih terlalu bayi selepas tamat pengajian dalam bidang Komunikasi Korporat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sudah takdir agaknya, ketika bekerja di Jabatan penerangan, Yulia dilamar untuk menjadi artis rakaman di bawah label Sony Music Malaysia. Bagaimanapun, gadis asal Selangor ini mengakui tidak mudah untuk mengimbangi kerjaya hakiki dengan minatnya sebagai penyanyi.
“Terus-terang, apa yang saya tengah alami sekarang sangat berat sebab saya ada kerja hakiki ikut waktu pejabat dan dalam masa sama banyak show yang saya perlu terlibat.
“Bagaimanapun, saya buat keputusan yang besar sebab kedua-dua rezeki itu datang pada masa yang sama. Saya diberi peluang untuk bekerja dengan Jabatan Penerangan dan dapat tawaran Sony Music.
“Alhamdulillah, setakat ini, semuanya berjalan dalam keadaan baik, baik tawaran persembahan dan kerja hakiki,” katanya.

Kerjasama dengan Khai Bahar
Siapa sangka, Yulia ditawarkan untuk bekerjasama dengan penyanyi popular, Khai Bahar untuk lagu terbaharu bertajuk Toksik. Gadis itu mengakui teruja dan berdebar pada masa yang sama untuk menyanyikan lagu duet bersama.
“Masa mula-mula jumpa, saya rasa gemuruh sebab tak pernah bersemuka. Tambahan pula selama ini hanya tonton dia di televisyen sahaja. Tapi bila dapat peluang ini, saya bangga dengan diri sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, sesi latihan bersama guru vokal menjadi titik mula keserasian mereka dibina sebelum masuk ke dalam studio rakaman. Semakin lama bekerja, mereka menjadi rapat malah Yulia menyifatkan Khai sebagai seorang yang kelakar.
Ditanya mengenai hala tuju muzik selepas ini, Yulia mahu menggunakan platform seni ini untuk memartabatkan kembali seni dan budaya tradisional kepada generasi muda.
Menjadikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai inspirasi, beliau mahu menjadi contoh kepada anak muda agar tidak melupakan warisan budaya meskipun zaman berubah moden.
“Saya suka muzik tradisional. Saya hendak dijadikan sebagai rujukan supaya seni budaya kita itu tidak dilupakan,” katanya.
Menjadikan Allahyarhamah Puan Seri Saloma dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idola, Julia berharap dapat mengikut jejak langkah figura hebat tersebut.
“Siapa tak hendak duet dengan Siti Nurhaliza, kan? Kalau diberi rezeki, itu adalah satu impian yang sangat besar dan saya rasa macam mimpilah,” katanya.




