Selepas nikah semula, Rizky dan Mahalini umum hamil anak pertama

Selepas nikah semula, Rizky dan Mahalini umum hamil anak pertama

Kuala Lumpur: Pasangan artis popular Indonesia, Rizky Febian dan Mahalini dilaporkan sudah bernikah semula pada 27 Disember lalu.

Menurut laporan Tribun, pasangan itu mengikut saranan Majlis Agama Islam Jakarta Selatan selepas pernikahan mereka pada November didakwa tidak sah.

Ketua Pejabat Agama Setia Budi, Jakarta Selatan dilaporkan mengesahkan perkara itu.

Perkahwinan mereka pada Mei tahun lalu didapati tidak memenuhi syarat rukun nikah mengikut hukum Islam.

Mahlini yang popular dengan lagu Sial, sebelum itu melantik seorang ustaz sebagai wali hakim, namun individu berkenaan didapati tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan undang-undang Indonesia.

Dalam pada itu, Mahlini atau nama sebenarnya Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, 25, menerusi hantaran di media sosial berkongsi khabar gembira bahawa dirinya kini sedang hamil anak pertama.

Menerusi hantaran dalam media sosial yang memaparkan ‘baby bump’ beserta kapsyen penuh makna.

“Little star in my belly,” tulisnya ringkas.

Dalam foto berkenaan, Rizky turut kelihatan memegang perut Mahalini dengan wajah penuh kasih.

Menerusi ruangan komen, Rizky turut memohon doa daripada peminat agar kesihatan isteri dan anak dalam kandungan sentiasa terpelihara.

“Untuk semua, mohon doakan isteri saya ya,” katanya.

Spekulasi tentang kehamilan pelantun lagu Sial itu mula timbul dua bulan lalu selepas dia dilihat beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital.

Perkara itu semakin menjadi perhatian apabila dia mengumumkan mahu berehat daripada aktiviti seni sepanjang tahun 2025.

Pasangan itu turut menerima ucapan tahniah dan doa daripada peminat serta karyawan seni.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top