KOTA KINABALU: Selepas penafian dibuat Pejuang, parti Warisan tidak menunggu lama bagi menafikan parti tempatan Sabah itu mahu menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan parti itu berkata, Warisan menafikan sekeras-kerasnya mereka mahu bekerjasama dengan PN seperti dilaporkan dalam artikel diterbit Sarawak Report.
“Laporan itu mengelirukan,” kata Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, dalam kenyataan ringkasnya.
Awal hari ini, Pejuang ditunjangi Dr Mahathir Mohamad, membuat penafian keras kemungkinan menyokong Bersatu, parti yang diketuai bekas perdana menteri itu sebelum pertukaran kerajaan tahun lalu.
Kini, dalam usaha menyelamatkan pentadbiran PN (Mahathir dengan sokongan rakan sekutunya, Shafie, mewakili 15 kerusi), Muhyiddin didakwa ingin membeli sokongan veteran politik, Mahathir, dengan mengikut permintaan bekas Pengerusi Bersatu itu. PN didakwa menawarkan Mahathir jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Dalam laporan Sarawak Report, Mahathir dikatakan bersetuju akhirnya menyokong kerajaan PN yang semakin terdesak selepas didakwa dilantik mempengerusikan majlis berkenaan.
Sebagai balasan, Pejuang yang baharu diluluskan dan Warisan menyokong PN sebagai kerajaan.