am@hmetro.com.my
Jasin: Sambutan Aidilfitri kali ini paling bermakna buat keluarga kanak-kanak yang menghidap penyakit Biliary Atresia sejak lahir apabila dapat meraikannya dalam keadaan lebih ceria selepas kesihatannya semakin baik.
Bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Muhammad Ikmal Haziq, 25, berkata sepanjang dua tahun lalu, keutamaan keluarga mereka lebih tertumpu kepada tahap kesihatan anaknya, Nur Asyura Medina yang berusia dua tahun tujuh bulan berbanding meraikan Aidilfitri seperti kebiasaan termasuk berkunjung dari rumah ke rumah.
Menurutnya, sebelum ini hospital ibarat ‘rumah kedua’ mereka setiap kali tiba musim perayaan kerana sering kali ditahan di hospital memandangkan tahap kesihatannya tidak stabil.
Namun katanya, keadaan tahun ini berbeza selepas anaknya menjalani pembedahan apabila anaknya yang mesra dipanggil Medina kini bukan sahaja sudah boleh berjalan malah berat badannya juga meningkat sehingga mencecah 11 kilogram (kg).
“Syukur yang tidak terhingga kerana akhirnya Medina kembali sihat selepas melalui tempoh sakit yang agak sukar dan ini Aidilfitri paling bermakna buat keluarga kami.
“Alhamdulillah, Allah memberikan kami nikmat kesihatan dan memulihkan Medina daripada sakit sebelum ini, terima kasih rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan Medina,” katanya ketika ditemui selepas berkunjung ke rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, di Merlimau.
Tambahnya, kegembiraan mereka semakin bertambah apabila Medina kini sudah boleh bergaul dengan kanak-kanak lain termasuk sepupunya.
Ujarnya, disebabkan keterujaan untuk pertama kali menyambut dalam keadaan Medina sihat, isterinya, Norfazlinah Ibrahim, 29, turut membuat persiapan lebih awal termasuk membeli pakaian raya sedondon untuk mereka sekeluarga.
“Sekarang berat badan Medina semakin meningkat jadi nak pakai baju raya pun mudah nak cari saiznya,” katanya lagi.
Tambahnya melihat keadaan Medina yang semakin pulih dan positif memberi semangat kepadanya untuk mencari pekerjaan yang lebih stabil bagi meneruskan kehidupan tanpa perlu lagi terlalu bimbang memikirkan keadaan kesihatan anak tunggalnya itu.
“Itulah azam saya selepas ini nak cari kerja untuk kehidupan keluarga kecil kami,” ujarnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menyumbangkan wang RM120,000 untuk membantu menampung kos pembedahan yang perlu dijalani segera oleh kanak-kanak itu.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dipetik berkata, wang itu adalah simpanan untuk beliau menunaikan haji bersama isterinya pada tahun depan.
“Namun apa ertinya ibadah jika nyawa kecil ini sedang bertarung?” demikian kata-kata beliau yang menyentuh hati.
Kanak-kanak itu dan bapanya berjaya menjalani pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai China pada Disember tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



