Selepas raih dua emas, Cadence kini mahu ungguli aparatus

aida_adilah@hmetro.com.my

Bangi: Gimnas Selangor, Cadence Teh Zi Qi mahu mengekalkan momentum kecemerlangannya dan terus melebarkan penguasaan dalam acara aparatus selepas tampil cemerlang membolot dua emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Terdahulu, atlet berusia 18 tahun itu memperagakan aksi mengagumkan untuk meraih emas individu keseluruhan selepas mengumpul 48.550 mata sebelum membantu Selangor mengungguli acara berpasukan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pingat perak menjadi milik Audi Zulkarnien dari Sarawak dengan 44.500 mata, manakala Annabelle Ho Sym Vee dari Wilayah Persekutuan dan Amanda Ch’ng Lee Wern dari Pulau Pinang berkongsi gangsa selepas masing-masing mengumpul 42.250 mata.

Kejayaan berganda itu menyuntik keyakinan buat Cadence untuk meneruskan penguasaan dalam final aparatus esok apabila menyasarkan dua lagi emas dalam acara palang tidak sejajar dan batang titian selain mengintai perak dalam acara senaman lantai.

“Saya sasarkan tempat pertama untuk palang tidak sejajar dan batang titian, manakala acara senaman lantai saya sasarkan pingat perak kerana rakan sepasukan kebangsaan, Yeap Kang Xian mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi dalam acara itu.

“Apa-apa pun, saya mahu fokus kepada rutin agar tidak terlalu gementar supaya dapat memperagakan aksi terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai prestasinya dalam acara individu hari ini, Cadence mengakui dia sedikit goyah apabila terjatuh sekali ketika melakukan rutin di palang tidak sejajar.

“Saya bermula di palang tidak sejajar. Ia bukan permulaan yang baik kerana saya sedikit gementar dan tidak dapat merasai pergerakan badan dengan baik.

“Selepas itu saya bangkit dan keadaan menjadi lebih baik, terutama di batang titian dan acara senaman lantai,” katanya.

Sementara itu dalam acara berpasukan, Selangor meraih emas selepas mengumpul 169.3 mata, diikuti Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan 166.3 mata, manakala Johor menduduki tempat ketiga dengan 157 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top