Selepas Rugi Lebih Setengah Juta, Noraniza Idris Menangis & Sujud Syukur Terima Khabar Gembira

Selepas Rugi Lebih Setengah Juta, Noraniza Idris Menangis & Sujud Syukur Terima Khabar Gembira

Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris meluahkan rasa lega kerana dapat meneruskan perniagaannya selepas melalui detik sukar selepas mendakwa dirinya dianiaya oleh sebuah akademi latihan keusahawanan, baru-baru ini.

Menurut Noraniza, dia dan keluarganya menzahirkan rasa terharu dengan melakukan sujud syukur dan menangis setelah menerima tawaran daripada pasar raya Mydin yang secara tidak langsung berjaya menyelamatkan kilangnya daripada hampir ditutup.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat Laporan Polis Dakwa Ditipu, Noraniza Idris Rugi Lebih Setengah Juta

“Saya bersyukur di atas peluang ini. Selepas hampir jatuh terduduk dan tak tahu masa depan perniagaan saya dengan hampir nak tutup kilang, tiba-tiba produk saya ditawarkan untuk dijual di Mydin. Ini satu peluang dan rezeki yang cukup luar biasa.

“Saya anggap ini adalah peluang untuk saya memulakan langkah baharu dalam perniagaan. Insya-Allah saya akan cuba jalankan amanah ini dengan sebaik mungkin.

“Ketika pihak Mydin menawarkan dan bersetuju untuk produk saya berada di rangkaian mereka, saya sekeluarga sujud syukur serta menangis atas rezeki yang Allah kurniakan ini. Saya percaya apabila kita diuji pasti ada kemanisan yang akan peroleh,” katanya.

Noraniza berkongsi perkara tersebut ketika ditemui dalam majlis pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin yang berlangsung di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin bersama isterinya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Manira ini mendedahkan dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa pasar raya tersebut berminat untuk menjual produknya.

Kini menggaji 32 pekerja, operasi 24 jam

Malah, bagi memenuhi permintaan pasaran, dia kini perlu menggajikan tambahan seramai 32 pekerja bagi membantu menyiapkan tempahan yang semakin meningkat serta operasi kilangnya juga harus dijalankan sepanjang 24 jam.

“Apabila mereka bersetuju dengan kerjasama ini, saya bersyukur namun terkejut dengan tempahan yang mereka mahukan.

“Ini kerana, ketika itu staf saya hanya tinggal empat orang saja. Jadi saya perlu menambah lagi 32 orang.

“Operasi kilang juga terpaksa saya ubah kepada 24 jam tanpa henti bagi memudahkan proses permintaan yang perlu dibuat,” katanya.

Sementara itu, Ameer positif memberikan sokongan terhadap produk keluaran Noraniza dan usahawan terkenal ini juga komited untuk terus menyokong produk tempatan yang berminat memasarkan produk mereka di rangkaian pasar raya Mydin.

ARTIKEL BERKAITAN: Rugi Setengah Juta, Noraniza Idris Keluar Duit Sendiri Bayar Gaji Pekerja – “Saya Kumpul Wang Persembahan & Simpanan Anak-Anak”

Terdahulu, Noraniza berdepan cabaran dalam perniagaannya apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan oleh sebuah akademi latihan keusahawanan pada tahun lalu.

Pada 4 Mac lalu, Noraniza telah membuat laporan polis terhadap akademi terbabit dan mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM630,000.

Selain itu, akibat kesulitan kewangan, dia juga terpaksa merehatkan seramai 20 pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.

Scroll to Top