‘Selepas sokong Manchester United, datang sokong Harimau Malaya pula’

‘Selepas sokong Manchester United, datang sokong Harimau Malaya pula’
Josue. Foto Facebook Malaysia NT

Josue. Foto Facebook Malaysia NT

PEMAIN naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue berharap para penyokong akan membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi memberikan sokongan padu kepada skuad negara yang bakal berdepan Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Khamis.

Menurut pemain tengah berpengalaman itu, sokongan daripada penyokong amat penting buat skuad kendalian Peter Cklamovski menjelang pertembungan tersebut, meskipun ia berlangsung sehari selepas perlawanan tumpuan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod, sebanyak 70,000 tiket telah terjual bagi aksi skuad gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menentang ASEAN All-Stars yang dibarisi gabungan pemain terbaik rantau ini.

“Buat pertama kalinya pasukan Manchester United kembali ke Malaysia. EPL memang sangat terkenal di sini, ramai peminat mengikuti perlawanan mereka setiap pagi atau malam.

“Walaupun prestasi mereka dalam EPL agak kurang memberangsangkan ketika ini, namun mereka tetap jenama besar di peringkat antarabangsa. Saya harap mereka menikmati pengalaman di Kuala Lumpur, termasuk suasana di stadium serta sambutan hangat daripada penyokong Malaysia.

“Dalam masa sama, saya juga berharap peminat bola sepak tempatan dapat hadir memberikan sokongan kepada Harimau Malaya pada keesokan harinya. Kehadiran penyokong amat bermakna bagi kami,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan pada Rabu.

Dalam pada itu, kapten Kuala Lumpur City itu percaya perlawanan menentang Cape Verde yang berada di ranking ke-72 dunia akan menjadi ujian penting untuk mengukur kemampuan sebenar Harimau Malaya apabila menentang pasukan bertaraf tinggi.

“Memang sukar untuk kami, tetapi perlawanan sebegini amat penting menentang pasukan yang kuat bagi melihat di mana tahap sebenar kami dari segi fizikal dan mental ketika ini.

“Ia memang satu cabaran besar, namun inilah yang perlu kami hadapi. Ia juga merupakan satu pengalaman yang baik buat diri kami.

“Pasukan lawan juga bakal beraksi di Piala Dunia dan mempunyai ranking lebih tinggi, seperti yang semua tahu. Jadi, ia sudah tentu menjadi pertembungan yang mencabar buat kami.

“Namun, kami tidak sabar untuk berdepan mereka dan melihat sejauh mana jurang antara kami dengan mereka,” katanya.

Scroll to Top