Selepas tiga dekad, bekas anggota gengster didapati bersalah bunuh Tupac Shakur

Las Vegas: Duane “Keffe D” Davis, bekas anggota kumpulan gengster Los Angeles, pada Isnin didapati bersalah oleh mahkamah di Las Vegas atas pembunuhan penyanyi rap terkenal Tupac Shakur pada 1996.

Tiga dekad selepas kematian legenda rap itu, juri mendapati Davis, 63, bersalah atas tuduhan membunuh selepas hanya beberapa jam berbincang.

“Pertuduhan pertama, membunuh menggunakan senjata berbahaya, bersalah atas pembunuhan tahap pertama menggunakan senjata berbahaya,” umum ketua juri di mahkamah.

Davis yang berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, menyatakan hasratnya untuk membuat rayuan kepada Hakim Carli Kierny selepas keputusan itu diumumkan.

Bekas pemimpin South Side Compton Crips itu didakwa mengarahkan pembunuhan artis hip-hop berkenaan pada 7 September 1996 selepas anak saudaranya dipukul anggota rombongan Shakur di sebuah kasino di Las Vegas.

“Duane Davis, dalam budaya kumpulan gangster, tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku. Jadi apa yang dilakukannya? Dia mendapatkan senjata api, mengumpulkan kumpulannya dan memburu Shakur,” kata pendakwa raya Binu Palal dalam hujah penutup.

Shakur berada di Las Vegas untuk menyaksikan pertarungan tinju heavyweight Mike Tyson sebelum ditembak kira-kira dua jam selepas kejadian di kasino itu.

Seorang lelaki bersenjata dalam sebuah Cadillac putih menghampiri BMW dinaiki penyanyi rap itu di persimpangan lampu merah.

Shakur ketika itu duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

Menurut pendakwa raya, Davis menyerahkan senjata api kepada seseorang yang duduk di tempat duduk belakang Cadillac dan mengarahkannya menembak Shakur yang meninggal dunia enam hari kemudian.

Davis adalah satu-satunya individu yang berada dalam Cadillac pada malam kejadian yang masih hidup.

Pemandu BMW berkenaan dan pengasas bersama Death Row Records, Marion “Suge” Knight, turut cedera.

Pembunuhan Shakur, yang turut dikenali sebagai 2Pac, menjadi antara kes pembunuhan berprofil tinggi yang tidak diselesaikan di Amerika Syarikat selama bertahun-tahun, sekali gus mencetuskan perdebatan berterusan dalam kalangan peminat muzik mengenai pelaku dan motif pembunuhan itu.

Davis, yang kumpulan Crips pimpinannya merupakan antara kumpulan samseng yang menguasai beberapa kawasan di Los Angeles pada 1990-an, adalah satu-satunya individu yang didakwa berhubung penembakan Shakur.

Davis akan dijatuhkan hukuman pada 13 Oktober ini.

Pengakuan

Siasatan pembunuhan Shakur terbantut selama beberapa dekad berikutan kekurangan bukti, namun kes itu kembali dibuka selepas memoir Davis diterbitkan pada 2019.

Davis berulang kali mendakwa terbabit dalam pembunuhan Shakur selama bertahun-tahun, termasuk dalam temu bual dengan penguat kuasa undang-undang dan media serta autobiografinya, Compton Street Legend.

Bagaimanapun, dia kemudian menarik balik dakwaan itu dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh.

Pendakwa raya Palal memainkan beberapa rakaman yang didakwa sebagai pengakuan Davis ketika menyampaikan hujah penutup.

Peguam bela Davis, Michael Sanft, menyifatkan pengakuan anak guamnya sebagai rekaan dan pembohongan yang sebahagiannya bertujuan mempromosikan bukunya.

“Anda membaca sebuah buku yang berbentuk fiksyen dan bukan fakta. Tetapi pihak pendakwaan mahu anda percaya bahawa ini adalah pengakuan, bahawa dia berada di tempat kejadian ketika penembakan berlaku,” kata Sanft kepada juri.

Sanft berkata tiada bukti yang mengaitkan Davis dengan pembunuhan Shakur selain kenyataannya sendiri.

Menjelang perbicaraan, peguam Davis gagal menghalang buku itu daripada dikemukakan sebagai bahan bukti, selain kenyataan yang dibuatnya ketika ditemu bual polis pada 2008.

Shakur yang berusia 25 tahun ketika meninggal dunia adalah tokoh penting dalam persaingan hip-hop antara Pantai Timur dan Pantai Barat Amerika Syarikat.

Dikenali menerusi lagu popular seperti California Love dan All Eyez on Me, Shakur yang merupakan anak kepada anggota Black Panther, dibesarkan di Harlem dan Baltimore sebelum menjadi ikon hip-hop California selepas menandatangani kontrak dengan Death Row Records yang berpangkalan di Los Angeles.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top