mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketika ramai berdiam diri isu tunggakan gaji Kuala Lumpur City (KL City) FC, calon Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tampil berani mahu menyelesaikannya jika berjaya menduduki kerusi nombor satu.
Walaupun tidak menjanjikan bulan dan bintang, namun bagi Abdullah Sani yang juga pemangku Presiden KLFA meletakkan penyelesaian isu tunggakan gaji dan kewangan KL City sebagai agenda utama wajib diselesaikan.
Malah, Abdullah Sani yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) akan memperkasakan lagi akademi bola sepak selain turut menguatkan lagi ahli kelab gabungan dengan memperbanyakkan aktiviti kelak.
“Tunggakan gaji antara perkara dibincangkan dan kita mahu melaksanakan beberapa mekanisma supaya masalah itu dapat diselesaikan segera.
“Secara drastiknya, saya mahu cari duit sebanyak mungkin untuk pasukan dan melunaskan apa saja hutang yang membelenggu KL City.
“Saya tidak mahu menjanjikan bermacam-macam perkara namun apa yang ingin ditegaskan adalah selesaikan masalah tunggakan gaji kerana itu yang memburukkan imej KL City,” katanya.
Mengikut rekod, pertandingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Presiden KLFA membabitkan Abdullah Sani menentang Naib Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar.
Pertembungan itu disahkan selepas tempoh penyerahan borang pencalonan ditutup dengan kesemua jawatan bakal dipertandingkan apabila tiada seorang pun menang tanpa bertanding.
Difahamkan, Syed Yazid yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM meraih pencalonan tertinggi babitkan 15 sokongan daripada 27 ahli gabungan persatuan itu.
Manakala Abdullah Sani yang menjadi pemangku Presiden KLFA sebelum ini, mendapat 12 sokongan sekali gus melepasi 40 peratus (%) syarat pencalonan bagi merebut kerusi Presiden KLFA.
Untuk jawatan Timbalan Presiden pula, difahamkan akan berlakunya pertembungan empat penjuru babitkan dua calon dari kem Syed Yazid dan dua lagi mewakili kem Abdullah Sani.
Tokoh korporat berjaya, Datuk Sri Wong Yeon Chai dan orang lama bola sepak tanahair, Datuk Kamarudin Hassan akan dicabar oleh pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Afdlin Shauki yang bergandingan bersama Datuk Azril Mat Drus untuk merebut dua kerusi bagi jawatan Timbalan Presiden itu.
Manakala lapan calon akan bersaing untuk jawatan Naib Presiden babitkan bekas legenda KL, Datuk Ramlan Askolani, Datuk Sham Shamrat, Mohd Iqmal Haqimie dan Nor Asyikin Jaafar yang berada di kem Syed Yazid.
Sementara empat lagi nama babitkan gabungan Senator Datuk Hishamuddin Yahya, Ibrahim Sani Asnan Mohamad, Mohd Hamidi Abu Bakar dan Azli Yusof melengkapkan ‘pasukan’ Abdullah Sani.
Bagi jawatan anggota Exco KLFA pula, seramai 19 calon berentap bagi mengisi 10 tempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




