Selesema burung: Ancaman pandemik seterusnya?

Selesema burung: Ancaman pandemik seterusnya?

H5N1, H5N6 dan H7N9 dikelaskan sebagai virus selesema burung paling patogenik (HPAIV) tergolong dalam genus influenza A.

Peningkatan kes sejak akhir-akhir ini mencetuskan kebimbangan jika virus itu berpotensi mencetuskan pandemik global seterusnya.

H5N1 pertama kali dikenal pasti di Scotland pada 1959 dan kes pertama melibatkan jangkitan manusia dilaporkan di Hong Kong selepas tempoh kira-kira empat dekad.

Antara 2003 dan 2023, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendokumenkan sebanyak 878 kes jangkitan H5N1 pada manusia, dengan 458 kematian direkodkan di 23 negara.

Penularan virus itu biasanya berlaku melalui kontak rapat dengan burung dijangkiti atau persekitaran yang tercemar.

Jangkitan daripada manusia kepada manusia dikatakan jarang berlaku, namun keupayaan H5N1 menjangkiti mamalia termasuk kucing, anjing dan singa laut telah mengundang tentang potensi virus itu berevolusi.

Carta aliran penularan virus avian influenza daripada takungan semula jadi (burung akuatik) kepada haiwan ternakan, manusia dan spesies lain.

Carta aliran penularan virus avian influenza daripada takungan semula jadi (burung akuatik) kepada haiwan ternakan, manusia dan spesies lain.

Penyebaran berterusan dalam ka-langan populasi burung liar dan domestik di seluruh dunia, di samping jangkitan ke atas manusia yang berlaku sekali-sekala menunjukkan selesema burung adalah ancaman kepada kesihatan global.

Antara Disember 2024 dan Mac 2025, HPAIV telah merebak di 31 negara dengan 743 kes dikesan pada burung (ternakan ayam dan itik serta spesies liar) yang sebahagian besarnya melibatkan subjenis H5N1.

Penularan H5N1 dalam kalangan mamalia pula membabitkan kucing domestik dan karnivor liar di Eropah serta di hampir 1,000 ladang ternakan lembu tenusu di 17 negeri Amerika Syarikat (AS).

Analisis genetik baru-baru ini mengenal pasti genotip berbeza H5N1, D1.1 pada ternakan lembu di Washington yang mencetuskan kebimbangan tentang potensi evolusi virus setelah 22 kes baharu direkodkan melibatkan pekerja di ladang ternakan lembu di negara itu pada tahun lalu.

Strain H5N1 dilaporkan turut menjangkiti lembu tenusu di AS.

Strain H5N1 dilaporkan turut menjangkiti lembu tenusu di AS.

Potensi virus bermutasi

Susulan ancaman yang kian meningkat, pihak berkuasa kesihatan global termasuk WHO bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mula menyuarakan kegusaran jika virus itu bermutasi, sekali gus menyebabkan penularan avian influenza lebih meluas.

Risiko penyebaran daripada manusia kepada manusia kekal rendah dan jarang berlaku kerana ia tidak ‘serasi’ dengan perumah (manusia) tetapi pengawasan secara berterusan perlu dilakukan dan langkah berjaga-jaga kekal kritikal kerana penularan pantas serta keupayaannya melangkaui spesies.

Vaksin influenza manusia sedia ada menawarkan perlindungan terhad terhadap strain seperti H5N1 atau H7N9.

Oleh itu, komuniti perubatan perlu melabur dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin khusus sebagai persediaan jika ia mencetuskan pandemik baharu selepas Covid-19.

Difahamkan, kebanyakan negara dilengkapi sistem pemantauan untuk mengesan virus selesema burung, namun ia tidak dapat mengenal pasti wabak tidak dijangka atau situasi luar biasa.

Kebanyakan strain H5N1 juga dikatakan sensitif kepada ubat antiviral seperti oseltamivir.

Garis panduan tentang cara rawatannya masih terhad, selain bukti kajian yang terhad.

Sebahagian besar negara membangun juga berdepan kekurangan kapasiti makmal, selain kakitangan terlatih diperlukan bagi diagnos yang tepat sebagai persediaan menghadapi ancaman pada masa depan. – Agensi

Scroll to Top