Seleweng dana sukuk lebuh raya: Ini antara harta dan aset yang disita SPRM

Seleweng dana sukuk lebuh raya: Ini antara harta dan aset yang disita SPRM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan sejumlah harta di luar negara yang dipercayai dibeli menggunakan dana sukuk bagi pembinaan sebuah lebuh raya.

Difahamkan, aset berkenaan berada di beberapa negara di Eropah seperti United Kingdom dan Switzerland.

Pasukan penyiasat percaya harta berkenaan berkemungkinan diperoleh menggunakan dana yang sepatutnya digunakan untuk pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.

Aset yang dikesan itu bukan sekadar hartanah bernilai tinggi, malah kenderaan mewah yang berada di luar negara seperti London.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan berkata, siasatan ketika ini sedang menentukan nilai harta yang dibeli menggunakan dana yang diseleweng.

“Notis pengisytiharan harta juga sudah diserahkan kepada seorang Tan Sri dan pihak yang berkaitan,” katanya.

Katanya, selain hartanah, nilai sebenar minuman alkohol mewah dalam simpanan Tan Sri dengan kemungkinan wang berkenaan dipindahkan ke akaun-akaun lain.

Semalam, SPRM menyenaraikan sejumlah harta dengan keseluruhan sitaan berjumlah kira-kira RM143 juta, dirampas dalam siasatan penyelewengan sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang membabitkan seorang kenamaan bergelar Tan Sri.

Setakat semalam, harta dan aset yang disita oleh SPRM adalah seperti berikut:

• Jumlah keseluruhan sitaan kira-kira RM143 juta

• 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta

• Lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta

• Kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta

• Sembilan unit kereta berjumlah RM7.65 juta

• 13 unit kereta masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan

• Jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta

• Tas tangan bernilai RM3 juta

• Barang kemas serta berlian RM6 juta

• Empat kuda bernilai RM400,000

• Minuman beralkohol bernilai RM3 juta

• Aset luar negara yang dinilai lebih daripada RM15 juta

• Aktiviti perjudian yang dianggarkan kira-kira RM20 juta

Azam berkata, dana sukuk yang diluluskan berjumlah kira-kira RM1.35 bilion dengan penyelewengan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta dan RM416 juta serta pinjaman fasiliti bank lain sebanyak RM50 juta.

“Projek lebuh raya yang bernilai RM1.67 bilion ini juga gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan siasatan juga menumpukan kepada isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top