Selisih faham, tekanan selepas cerai dipercayai punca anak bunuh ibu

am@hmetro.com.my

Tambunan: Perselisihan faham dan tekanan selepas melalui perceraian dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak membunuh ibu kandungnya menggunakan pisau di Kampung Katagayan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun itu baru bercerai dengan isterinya dan dipercayai berdepan tekanan sebelum kejadian.

“Senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu adalah pisau dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar perselisihan faham antara suspek dan mangsa.

“Suspek direman sselama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, beberapa barangan kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas selepas pasukan penyiasat dan forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi.

“Mayat wanita itu dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.

Mangsa yang berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, pada 2 petang.

Anak mangsa yang disyaki terbabit dalam kejadian itu kemudiannya dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah pondok di Kampung Sukung sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan dan diserahkan kepada polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top