'Selongkar sisi gelap di sebalik 'kuasa' lencana

'Selongkar sisi gelap di sebalik 'kuasa' lencana

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Drama bersiri berjudul Bad Cop dikatakan bakal mencetuskan fenomena berbekalkan reputasi naskhah yang di adaptasi daripada karya asal Jerman yang sebelum ini turut diberi nafas baharu dalam versi India.

Bad Cop versi Malaysia bukan sekadar penceritaan ulang. Ia disuntik dengan identiti sendiri, lebih dekat, lebih emosional dan lebih berani menyelongkar sisi gelap manusia yang sering disembunyikan di balik lencana, jawatan dan kuasa.

Diarahkan oleh Jason Chong, Bad Cop berdiri sebagai sebuah siri yang bukan sahaja bergantung kepada skala produksi atau aksi besar, tetapi juga kekuatan emosi dan perkembangan watak yang berlapis-lapis.

Menurut Jason, walaupun siri ini menampilkan banyak babak berskala besar, cabaran sebenar bukan terletak pada persiapan teknikal.

“Siri ini mempunyai banyak babak berskala besar. Namun, tidak semestinya babak dengan persediaan paling besar itu yang paling sukar untuk dilaksanakan. Kami disokong oleh pasukan yang sangat mantap daripada bahagian reka bentuk produksi, kamera dan sebagainya,” katanya.

Bad Cop menuntut konsistensi emosi yang tinggi, khususnya dalam menghidupkan watak utama yang sentiasa berubah dan berkembang seiring pendedahan demi pendedahan yang dialami penonton.

“Penonton akan melihat perkembangan watak, terutamanya karakter Aiman sebagai Emir dan Imar Khalid. Ia perlu sentiasa tepat dan konsisten sepanjang masa, dan itulah perkara yang paling sukar untuk dipegang. Proses ini berlangsung secara berterusan sepanjang siri ini,” katanya.

Apa yang membezakan Bad Cop daripada kebanyakan adaptasi lain adalah keberanian pasukan produksi untuk tidak terikat sepenuhnya pada format asal. Walaupun struktur penceritaannya pantas dan padat, ruang emosi tetap diperluaskan agar watak-wataknya terasa lebih manusiawi.

“Format asalnya memang hebat dan bergerak pantas, tetapi kami merasakan masih banyak ruang untuk memperdalamkan emosi setiap karakter. Apa yang berlaku kepada mereka, dan bagaimana mereka bangkit semula,” katanya.

Di barisan hadapan naratif ini ialah Aiman Hakim Ridza yang memikul tanggungjawab besar membawakan dua watak serentak, Emir dan Imar Khalid. Bagi Aiman, pengalaman ini bukan sekadar cabaran lakonan, tetapi sebuah perjalanan psikologi yang menguji ketahanan diri.

“Skripnya seperti kuih lapis, dibuka satu lapisan demi satu lapisan. Semakin kita menyelami cerita, semakin banyak perkara yang ditemui. Ini adalah sebuah projek yang benar-benar ‘gila’,” katanya.

Aiman mengakui, pada peringkat awal, skrip Bad Cop tidak mendedahkan keseluruhan emosinya. Namun, semuanya berubah apabila kamera mula bergolek dan setiap babak menuntut kejujuran emosi yang mendalam.

“Apabila berada di set dan melakonkan babak-babak itu, barulah saya sedar di mana emosi itu masuk. Bila menyelam lebih dalam, mental saya terganggu dan saya menjadi murung,” ujarnya.

Namun, di sebalik tekanan emosi, Aiman tetap menganggap Bad Cop sebagai pengalaman yang indah. Sentuhan Malaysia yang dibawa oleh Astro, menurutnya, menjadikan adaptasi ini lebih ‘berasa’ dan dekat dengan penonton tempatan.

“Dari episod satu hingga lapan, ada perubahan genre yang sangat menarik. Nilai produksi keseluruhannya tinggi dan mereka benar-benar mencabar kami habis-habisan. Keseluruhan proses ini sangat indah untuk dikenang,” tambahnya.

Turut memperkukuh dunia Bad Cop ialah Harvinth Skin yang memegang watak Abhi Selvam, satu peranan yang menuntut ketelitian dan keberanian emosi. Harvinth tidak menafikan rasa ragu yang hadir pada awalnya.

“Saya sering bertanya kepada diri sendiri, adakah saya layak untuk membawakan watak ini? Apatah lagi apabila dikelilingi oleh individu-individu profesional,” katanya.

Namun, persekitaran set yang positif dan kolaboratif membuatkan beliau sentiasa bersemangat untuk hadir ke lokasi penggambaran setiap hari.

Kepuasan terbesar buatnya adalah apabila dapat merealisasikan apa yang diinginkan oleh pengarah dan pasukan kreatif.

“Saya harap saya berlaku adil terhadap karakter ini,” katanya.

Bagi Melissa Campbell pula, Bad Cop menjadi medan untuk meneroka sisi antagonis menerusi watak Jia Vern. Hari pertama di set dipenuhi debaran, namun kepercayaan terhadap visi pengarah memberi keyakinan untuk melangkah lebih jauh.

“Saya memang sudah lama ingin bekerjasama dengan Jason kerana dia mempunyai idea-idea yang luar biasa,” katanya.

Melissa memulakan proses lakonannya dengan memahami skrip dan kostum sebelum benar-benar menyelami psikologi wataknya. Walaupun kebanyakan adegannya tertumpu di ruang pejabat, Jia Vern bukan sekadar watak pasif.

“Watak saya kebanyakannya terperangkap di dalam pejabat, namun dia adalah antagonis dalam cerita ini,” jelasnya.

Selain Aiman, Harvinth dan Melissa, Bad Cop yang ditayangkan di Astro Citra turut dibintangi Siti Saleha, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman dan Alvin Chong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top