
Sze Fei–Izzuddin turut mara ke pusingan kedua Seluruh England.
SELEPAS melalui hari pertama yang agak mendukacitakan, kem badminton negara bangkit mempamerkan aksi cemerlang pada hari kedua Kejohanan Badminton Seluruh England sekali gus menyaksikan tujuh wakil mengesahkan tiket ke pusingan kedua.
Mengetuai kemaraan tersebut ialah beregu lelaki nombor satu negara yang juga pilihan kedua kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Mereka cemerlang menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith menerusi kemenangan straight set 21-17, 21-17.
Kejayaan itu bagaimanapun menemukan mereka dengan rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King di pusingan kedua nanti sekali gus mengesahkan satu tiket suku akhir milik Malaysia.
Turut mengikut jejak langkah melepasi halangan pertama ialah beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila menundukkan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dengan keputusan 21-10, 21-15.
Tugas berat menanti Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua apabila dijadualkan membuat perhitungan dengan gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Kecemerlangan kem beregu lelaki itu turut menyaksikan dua lagi pasangan negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya mengesahkan kemaraan masing-masing.
Dalam pada itu, saingan beregu wanita menyaksikan jaguh nombor dua dunia, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan taring mereka apabila berjaya menumbangkan duo dari Jepun, Arisa Igarashi-Chiharu Shida.
Pasangan pilihan kedua kejohanan itu hanya memerlukan 46 minit untuk mencatatkan kemenangan 21-19, 21-12 dan dijadualkan menentang beregu Korea Selatan, Lee Seo Jin-Lee Yeon Woo di pusingan kedua.
Turut menceriakan kem negara ialah gandingan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang turut cemerlang mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Ringkasan AI
- Selepas hari pertama yang mendukacitakan, tujuh wakil badminton negara bangkit dan mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England
- Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menang mudah melawan pasangan Amerika
- Kemenangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan satu tiket suku akhir bagi Malaysia setelah menemukan rakan senegara di pusingan kedua
- Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga lepasi halangan pertama dengan menewaskan gandingan Jepun
- Jaguh beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, menunjukkan prestasi cemerlang dengan mengalahkan pasangan dari Jepun



