Semakan undang-undang Maritim penting tangani ketirisan, kedaulatan laut – Penganalisis

Semakan undang-undang Maritim penting tangani ketirisan, kedaulatan laut – Penganalisis

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan Kementerian Pengangkutan (MOT) menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC) bagi mengkaji semula enam undang-undang perkapalan dan pelabuhan utama negara disifatkan sebagai langkah strategik yang amat diperlukan.

Pemerhati Hubungan Antarabangsa dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, inisiatif itu bukan sekadar memodenkan undang-undang lama, malah dianggap keperluan mendesak untuk menangani isu keselamatan maritim, ketirisan sumber, serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.

“Undang-undang sedia ada seperti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan versi berkaitan di Sabah dan Sarawak sudah tidak sejajar dengan keperluan semasa, terutamanya dari segi teknologi, penguatkuasaan dan tanggungjawab operator kapal.

“Kekurangan ini menyukarkan agensi penguat kuasa bertindak pantas dalam kes kecemasan maritim seperti pencemaran laut, perlanggaran kapal, pelanggaran zon perairan dan insiden penyeludupan,” katanya hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan MOT sedang mengkaji semula enam undang-undang maritim utama termasuk Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang dianggap sudah lapuk dan tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Beliau dilaporkan berkata, kajian itu, bertujuan menjadikan industri maritim negara lebih kompetitif, dinamik dan selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan utama.

Nur Ashikin berkata, Malaysia juga berdepan ketirisan hasil laut negara yang semakin kritikal, berpunca daripada kelompongan dalam Akta Perikanan 1985 yang tidak menyeluruh serta kurang mengambil kira cabaran moden.

“Perairan kita, terutamanya di Pantai Timur dan Laut Sulu, kerap menjadi sasaran nelayan asing yang menjarah hasil laut secara haram, menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah lebih RM6 bilion setiap tahun.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan, malah mengancam keselamatan makanan negara serta kestabilan ekosistem marin jangka panjang,” katanya.

Nur Ashikin berkata, berbanding negara lain seperti Australia, Norway dan Singapura yang mempunyai undang-undang maritim kukuh dan bersepadu, Malaysia masih ketinggalan dari segi pemantauan serta penguatkuasaan.

“Di Australia, contohnya, mereka boleh memantau kapal asing secara masa nyata menggunakan sistem satelit AIS dan melaksanakan rondaan maritim bersama tentera laut, pasukan kastam serta agensi perikanan.

“Malaysia pula masih berdepan isu undang-undang maritim yang terfragmentasi dan agensi penguat kuasa yang bertindih bidang kuasa, menyebabkan tindak balas menjadi perlahan,” katanya.

Beliau menegaskan, semakan semula undang-undang maritim akan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan keupayaan mematuhi konvensyen global seperti Konvensyen Antarabangsa untuk Keselamatan Nyawa di Laut (SOLAS), pencemaran marin (MARPOL) dan Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

“Selain mengelak kapal kita dikenakan sekatan pelayaran, imej Malaysia sebagai rakan dagang yang bertanggungjawab juga akan dipertingkatkan, sekali gus memperkukuh kedudukan negara dalam perundingan serantau berkaitan keselamatan maritim dan isu kedaulatan perairan,” katanya.

Beliau berkata, semakan undang-undang itu juga mampu meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan, memudahkan prosedur logistik, serta menjadikan Malaysia destinasi pilihan dalam jaringan perdagangan global.

“Namun, kejayaan reformasi ini bergantung kepada pendekatan inklusif yang melibatkan semua pemegang taruh seperti agensi penguat kuasa, persatuan nelayan, pengendali pelabuhan, pemain industri maritim dan pakar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan transformasi digital dilaksanakan bagi membolehkan pendaftaran kapal, pelaporan insiden dan pemantauan penguatkuasaan dilakukan secara masa nyata dan telus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top