Semakin menjadi pilihan penggemar rasa mentega

Semakin menjadi pilihan penggemar rasa mentega

izamridzuan@hmetro.com.my

Aidilfitri memang sinonim dengan deretan kuih tradisional yang memenuhi meja tetamu daripada tart nenas, semperit hinggalah makmur.

Namun, dalam landskap raya moden yang semakin global, muncul satu lagi pilihan yang ringkas tetapi elegan iaitu ‘Pecan Snowball’, biskut klasik dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan tekstur ‘cair di mulut’.

Walaupun bukan berasal dari budaya tempatan, biskut ini semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang menggemari rasa mentega yang kaya tetapi tidak terlalu manis.

Menggunakan bahan asas yang minimal iaitu mentega, gula aising, tepung dan kacang pecan panggang, kombinasi ini menghasilkan profil rasa ‘buttery’ dan ‘nutty’ yang seimbang serta aroma panggang yang lembut.

Menurut Alina Saidin, 52, atau lebih dikenali sebagai Lina Thomas, resipi ini sudah lebih 20 tahun menjadi tradisi keluarganya sepanjang menetap di Amerika Syarikat.

Katanya, dia mempelajari cara penyediaannya daripada ibu mentua dan sehingga kini tetap mengekalkan resipi asal setiap kali musim perayaan.

Secara visual, Pecan Snowball dan biskut makmur kelihatan hampir sama iaitu putih bersalut gula aising dan berbentuk bulat kecil.

Namun, apabila diperhalusi daripada segi struktur dan pengalaman rasa, kedua-duanya sebenarnya berbeza.

Pecan Snowball tidak mempunyai inti kerana kacang pecan dicampur terus ke dalam doh, menjadikan setiap gigitan sarat dengan rasa kacang yang sekata.

Teksturnya lebih rapuh dan sedikit halus dengan rasa mentega yang lebih dominan serta tahap kemanisan yang sederhana dan tidak terlalu berat.

Resipi Biskut Mentega Pecan Snowball ‘Ibu Mentuaku’

Bahan Doh:

1 cawan mentega (suhu bilik)

2 sudu teh ekstrak vanila

º sudu teh garam

2 º cawan tepung serba guna

Ω cawan gula aising (diayak)

1 cawan pecan cincang

Untuk Salut:

1 cawan gula aising (diayak)

Cara Penyediaan

1. Krim Mentega

Pukul mentega bersama vanilla dan garam menggunakan pengadun elektrik sehingga adunan menjadi ringan, pucat dan berkrim.

Langkah ini penting untuk memastikan tekstur biskut lembut serta cair di mulut.

2. Masukkan Bahan Kering

Tambahkan tepung dan gula aising sedikit demi sedikit sambil digaul hingga doh terbentuk dan sebati.

Elakkan mengadun terlalu lama kerana ‘overmixing’ boleh menyebabkan struktur menjadi padat dan keras selepas dibakar.

3. Masukkan Pecan

Masukkan pecan cincang dan gaul secara perlahan sehingga sekata dalam doh.

Pastikan kacang tersebar rata supaya setiap bebola mempunyai rasa nutty yang seimbang.

4. Bentukkan & Sejukkan

Ambil doh kira-kira satu sudu besar dan bentukkan menjadi bebola kecil. Susun di atas loyang yang dilapik kertas pembakar, kemudian sejukkan atau bekukan selama kira-kira 10 minit untuk membantu mengekalkan bentuk ketika proses pembakaran.

5. Bakar

Panaskan ketuhar pada suhu 1800C (3500F). Bakar selama 10 hingga 15 minit atau sehingga bahagian bawah biskut bertukar warna perang keemasan lembut.

Elakkan membakar terlalu lama supaya teksturnya kekal rapuh dan tidak kering.

6. Salut Gula Aising Biarkan biskut sejuk kira-kira lima minit sebelum digolek dalam gula aising.

Untuk mendapatkan efek ‘salji’ yang lebih tebal dan sekata, ulang proses salut selepas biskut benar-benar sejuk.

Simpan dalam bekas kedap udara dan biskut ini mampu bertahan antara lima hingga tujuh hari.

Dalam suasana raya yang semakin terbuka kepada pengaruh global, Pecan Snowball membuktikan bahawa tradisi boleh berkembang tanpa menghilangkan identiti.

Selain kuih klasik tempatan, kehadiran biskut ini memberi pilihan rasa yang lebih sederhana dan elegan, namun tetap meriah menghiasi meja Aidilfitri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top