Semakin Sukses, Ben Ali & Nadiyah Shahab Selalu ‘Bergaduh’ Kerana Bisnes – “Mungkin Dengan Orang Lain, Kami Kena Jaga Hati”

Semakin Sukses, Ben Ali & Nadiyah Shahab Selalu ‘Bergaduh’ Kerana Bisnes – “Mungkin Dengan Orang Lain, Kami Kena Jaga Hati”

Pelakon Ben Ali dan Nadiyah Shahab bukan sahaja pasangan suami isteri, tetapi mereka juga merupakan rakan bisnes.

Bersama berganding bahu mengemudi acara tahunan Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya yang semakin sukses, Ben dan Nadiyah mengaku mereka selalu ‘bergaduh’ demi kebaikan bisnes.

“Pergaduhan itu normal. Dalam bisnes, kami selalu bergaduh untuk kebaikan. Argument dalam bisnes itu merupakan sesuatu yang sihat.

“Kami berbalah untuk kebaikan acara, bukan kerana hal peribadi. Di penghujungnya, kita ada matlamat yang sama iaitu mahukan sesuatu yang terbaik untuk acara yang kita anjurkan,” kata Ben.

Tambah Nadiyah, ada kebaikan dan keburukan mempunyai suami sebagai rakan bisnes.

“Semua ada baik dan buruk. Jika rakan bisnes bukan suami, pastinya saya tak berani nak guriskan hati, kata-kata yang keluar pun untuk menjaga perasaan.

“Namun, situasi kami sebagai suami isteri, memang semuanya akan dibincangkan. Apa sahaja, semua kerisauan, kebimbangan, rasa kurang keyakinan, kita boleh bincangkan dengan suami kerana pada akhirnya, ia adalah untuk kebaikan bisnes,” katanya kepada XTRA.

Nadiyah dan Ben ditemui pada Majlis Sidang Media Pelancaran Absolut Bazaar dan Festival Gaya Raya 2025 di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai rahsia sukses festival yang sudah memasuki tahun keempat, pasangan sama cantik sama padan ini mengutamakan pengunjung dan pelanggan.

“Sebelum kami melakukan sesuatu acara, kami kaji dulu apa objektif yang kami mahukan. Kami takkan membuta tuli ketika melakukan sesuatu perkara. Kami buat kajian mengenai tempat, jenama yang bakal terlibat, artis yang turut serta dan sebagainya,” kata Ben.

Dalam pada itu, Nadiyah turut mendedahkan mereka tidak akan meneruskan sesuatu festival jika pihak pengurusan tidak yakin dengan acara terbabit.

“Sejujurnya, kalau kita sendiri tak confident, jika kita tak feel, kita tak akan buat. Seperti contoh, kami merancang acara Absolut Food Festival baru-baru ini, sepatutnya ia bakal berlangsung.

“Tapi kita tak dapat ‘feel’ tu. Apabila terjadi sebegitu, kami batalkan acara dan mengembalikan semula wang kepada ‘vendor’. Kami lebih rela tak jalankan acara terbabit berbanding kami buat tetapi festival itu akhirnya jadi ‘suam-suam’ sahaja. Kami dibayar oleh ‘vendor’, mereka bagi amanah dan kepercayaan, jadi kami tak mahu sia-siakan mereka,” kata Nadiyah.

Festival raya ikonik, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya bakal kembali berlangsung selama 66 jam tanpa henti di MITEC Kuala Lumpur dari 21 Mac (12 tengahari) hingga 6 pagi 24 Mac 2025.

Acara yang telah menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book Of Records sebagai Expo Festival Raya Terbesar di Malaysia itu merupakan anjuran bersama My Events International dan Absolut Events & Management.

Untuk tahun ini, 700 tapak reruai telah habis dijual dan pihak penganjur menyasarkan RM25 juta hasil keuntungan daripada pempamer di samping menarik seramai dua juta pengunjung.

Selain menyediakan pengalaman membeli belah bagi persediaan Aidilfitri yang lengkap daripada pakaian, produk kecantikan dan juadah Aidilfitri, antara tarikan utama lain bagi acara Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya ialah Mini Absolut FoodFest.

Scroll to Top