Semangat Ott semakin membara

Semangat Ott semakin membara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas menjaringkan dua gol ketika berdepan kelab Shan United FC dalam saingan Kejuaraan Kelab Asean, ‘arkitek’ Terengganu FC (TFC), Manuel Ott akui semangatnya kian membara.

Tambah pemain import dari Filipina itu, kemenangan 5-0 menundukkan kelab dari Myanmar itu juga turut melonjak lagi motivasi pasukannya untuk berdepan ‘gergasi’ Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).

Naib juara Piala Malaysia musim 2023 itu bakal bertembung dengan JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 17 Januari ini sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Februari depan untuk aksi timbal balik.

“Kemenangan menundukkan kelab Myanmar itu melonjak lagi motivasi saya dan rakan sepasukan untuk berdepan JDT pada aksi separuh akhir nanti.

“Tambah bersemangat lagi selepas saya berpeluang menjaringkan dua gol bersama Akhyar Rashid dan satu lagi menerusi kapten, Safawi Rasid.

“Kami kian serasi, saya harapkan momentum kemenangan itu dapat diteruskan walaupun pasti ianya tugas sukar buat kami. Namun kami percaya dengan kemampuan masing-masing.

“Lagipun aksi pertama bakal berlangsung di tempat sendiri, sudah tentu bakal dihadiri ribuan peminat setia,” ujar pemain tengah kelahiran Jerman yang lebih mesra dipanggil ‘Manny’.

Pada aksi final Piala Malaysia 2023, TFC yang ketika itu dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner tewas 1-3 kepada JDT dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top