anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun menghadapi kesukaran berjalan akibat serangan angin ahmar, Pemangku Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhamad Mustari Mustapah tetap bersemangat melakukan pelbagai aktiviti termasuk merentas hutan untuk menamatkan kursus dihadirinya.
Beliau yang kini dalam proses pemulihan selepas diserang strok kira-kira dua tahun lalu berkata, meskipun terpaksa bergantung kepada tongkat ketika berjalan, ia tidak menjadi halangan menjalani latihan ‘ala komando’ di Kem Amazing Camp Legacy, Lenggong, Perak selama empat hari.
“Saya berpegang kepada komitmen dan tanggungjawab diri untuk menghabiskan apa yang sudah dimulakan.
“Dalam konteks ini, ada rasa amanah dan disiplin diri yang perlu saya tunaikan walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Kursus Peralihan Penguasa SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), baru-baru ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi.
Beliau yang kini berkhidmat di Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM adalah antara 23 peserta kursus terbabit yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC), bersama barisan jurulatih berpengalaman daripada bekas anggota VAT69, Grup Gerak Khas (GGK) dan mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun.
Kursus yang menekankan elemen ketahanan fizikal, disiplin dan kepimpinan itu bukan sekadar latihan biasa namun menguji semangat dan kekuatan dalaman setiap peserta.
Muhamad Mustari berkata, dia terpaksa menggagahkan diri dengan menyertai semua aktiviti dijalankan bersama pegawai lain termasuk latihan survival di hutan dan latihan menyelamat.
Kesungguhan dan semangat luar biasa beliau terbukti apabila terpilih menerima Anugerah Waja yang julung kali diperkenalkan daripada Junipah dan Anugerah Khas daripada Abdul Rashid sebagai pengiktirafan atas ketabahan dan semangat juang yang tinggi sepanjang latihan di kem itu.
Kisah Muhamad Mustari ini membuktikan semangat dan iltizam pegawai SPRM mampu menundukkan segala keterbatasan malah menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




