Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperlihat komitmen terhadap pembangunan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem) di Malaysia dengan mengambil inisiatif menubuhkan STEM Centre@UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim, Perak.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, STEM Centre@UPSI yang ditubuhkan pada 2022 itu menawarkan pelbagai program dan aktiviti yang dirancang khusus untuk menarik minat pelajar serta profesional muda dalam bidang Stem.
“Menerusi fasiliti moden dan sumber terkini, pusat ini menyediakan peluang pembelajaran praktikal mengikut silibus terkini bagi murid serta guru dalam bidang Stem serta inovasi pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi.
“UPSI yang mewujudkan kerjasama strategik dengan industri dan institusi penyelidikan akan menyediakan pelajar dengan peluang latihan praktikal serta pengalaman berharga.
“Selain itu, mendapatkan sokongan kewangan melalui geran dan sumbangan industri serta melabur dalam infrastruktur dan teknologi terkini adalah langkah penting untuk memastikan pusat ini berfungsi dengan baik,” katanya.
Manakala Dekan FSM, Prof Madya Dr Mohd Nizam Lee Abdullah pula berkata, STEM Centre@UPSI yang mendapat kerjasama antara industri dan akademia melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk bengkel, seminar dan pertandingan inovasi bertujuan memupuk pemikiran kritis serta penyelesaian masalah dalam kalangan murid.
“STEM Centre@UPSI berjaya menarik lebih daripada 1,200 pelajar dari pelbagai peringkat pengajian dengan mengadakan pelbagai program.
“Ia termasuk bengkel kemahiran guru Stem, seminar secara bersemuka dan dalam talian dan kursus pendek yang membabitkan lebih 100 pembantu makmal sains bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Putrajaya dan JPN Perak bagi meningkatkan kompetensi pengendalian makmal bagi membantu guru Stem untuk persediaan amali kertas 3 SPM.
Sementara itu, Penyelaras STEM Centre@UPSI, Dr Adibah Abu Bakar berkata, inisiatif ini mampu membangunkan bakat muda yang akan memacu inovasi dan kemajuan teknologi negara pada masa depan.
“Latihan teknikal yang disediakan dapat membina semangat inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid, guru serta ahli akademia pendidikan dalam satu ekosistem holistik melalui pedagogi terkini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




