am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Senyuman ceria terukir pada wajah sembilan anak istimewa kakitangan Harian Metro (HM) apabila diraikan pada Program Iftar Ukhwah di Surau Media Prima Berhad (MPB) di sini, semalam.
Pada majlis itu, anak istimewa terbabit turut menerima sumbangan duit, biskut dan baju raya serta barangan keperluan harian sebagai tanda prihatin.
Program anjuran Kelab Harian Metro (Kelab Met) itu dijayakan dengan sokongan penyumbang budiman termasuk Maybank Islamic, Bayu Somerset, Boss James, ST Rosyam Mart, Dutch Lady, Knight Frank Malaysia, UDA Holdings Bhd, Loob Holdings, Tealive serta BaskBear.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, program tahunan itu antara lain menjadi platform merapatkan hubungan silaturahim warga kerja akhbar ini, selain tanda sokongan dan keprihatinan terhadap rakan sekerja yang memiliki anak istimewa.
“Majlis ini bukan sekadar pertemuan santai sebaliknya menjadi ruang untuk menghargai dan mengeratkan hubungan sesama kita dan semoga ukhwah ini terus berkekalan.
“Pada sama sama, sumbangan diberikan ini tanda penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapa yang tetap komited menjalankan tanggungjawab dalam kerjaya, walaupun berdepan cabaran membesarkan anak istimewa,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Majlis turut dihadiri Pengarang Eksekutif (Kandungan) HM, Muhamad Safar Ahmad; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Yusri Abdul Malek serta Presiden Kelab Met, Syarifah Nor Dayana Syed Bakri.
Sementara itu, suri rumah Nurliza Barhan, 39, yang hadir bersama suaminya, Penyunting HM, Ahmad Fikri Mat Yusoff, meluahkan kesyukuran apabila dua anak mereka menerima sumbangan itu.
Katanya, sumbangan berkenaan membantu meringankan beban mereka dalam menyediakan kelengkapan Aidilfitri buat anak syurga, Adelea, 12, dan Ahmad Nadeem, 9, masing-masing menghidap autisme dan gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD).
“Alhamdulillah, saya amat gembira terima sumbangan ini kerana biasanya kos untuk baju dan kelengkapan raya dua anak kami ini saja boleh mencecah RM300 hingga RM400.
“Jadi dengan sumbangan ini, bolehlah kami berjimat dan gunakan duit itu untuk keperluan lain,” katanya.
Perasaan sama dizahirkan Wartawan Rencana HM, Amir Abd Hamid, 48, yang menyifatkan sumbangan terbabit meringankan beban keluarganya menjelang sambutan Aidilfitri.
Kata Amir, anak bongsunya, Hud Eizaz, 6, menghidap Sindrom Down sejak lahir dan sumbangan diberikan sangat membantu dalam mengurangkan kos persiapan Aidilfitri mereka sekeluarga.
“Terima kasih kepada HM khususnya Kelab Met dan semua penyumbang atas sumbangan diberikan,” katanya.
Wartawan Sukan HM, Ferzalfie Fauzi, 42, turut menzahirkan penghargaan apabila dua daripada tiga anak lelakinya, Muhammad Fayyaz Etizaaz, 12, dan Muhammad Farz Elyaz, 4, yang menghidap autisme diraikan dan menerima sumbangan.
Selain penyerahan sumbangan dan berbuka puasa, program bermula kira-kira 6 petang itu turut diisi dengan bacaan tahlil ringkas dipimpin Ustaz Hazim Hazman khusus untuk warga kerja HM yang meninggal dunia, sebelum diakhiri dengan solat berjemaah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




