Sembilan keluarga mangsa ribut terima bantuan

KUANTAN – Sebanyak sembilan buah keluarga yang menjadi mangsa ribut di Beserah pada hari ini menerima bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Kuantan.

Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Tengku Nor Asmaliza Ku Lah berkata, usaha menghulur bantuan dilakukan sejurus menerima laporan mangsa yang terlibat dengan bencana itu.

“Dalam insiden ribut itu telah menyebabkan kerosakan atap, siling dan kemusnahan perabot melibatkan sembilan buah rumah daripada empat buah kampung berhampiran.

“Antara kampung yang terjejas Kampung Alor Ladang, Kampung Baru, kampung Jambu dan kampung Pelindung Beserah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Tengku Nor Asmaliza, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada penghulu dan pihak terlibat memandangkan Kuantan turut dilanda ribut pada hari ini yang menyebabkan banyak pokok tumbang.

“Bagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan tidak dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara kerana rumah masih boleh didiami.” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Meterologi telah mengeluarkan amaran hujan lebat yang dijangka berlaku di sekitar Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, Rompin sehingga 24 Mac 2021. – MalaysiaGazette.