Sembilan kluster baharu Covid-19, enam libat tempat kerja – Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kluster baharu Covid-19  dikesan di dalam negara pada hari ini oleh Kementerian Kesihatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak enam merupakan kluster yang dikesan di tempat kerja manakala tiga lagi dikesan dalam kalangan komuniti umum.

Kluster berkenaan adalah Industri Jalan Kebun dan Kampung Kelanang di Selangor; Kluster Pujut Satu dan Jalan Kapitan, Sarawak; Kluster Jalan Kempas Satu dan Jalan Padu Industri di Johor; dan masing masing Kluster Bandar Baru Kubang Kerian, Kelantan; Kluster Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur; dan Kluster Kampung Tanjung di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Kampung Tanjung dan Kluster Bandar Baru Kubang Kerian masing masing membabitkan dua perempuan warga tempatan berusia 35 dan 32 tahun masing-masing disahkan positif pada 6 dan 7 April lalu hasil saringan individu bergejala yang mana kes mula bergejala pada 29 Mac dan 1 April 2021.

Katanya, penularan kes-kes bagi kluster Kampung Tanjung berlaku di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus Terengganu.

“Sehingga hari ini seramai 273 orang telah disaring dan 13 kes positif dikesan dari Kluster Kampung Tanjung

“Manakala bagi Kluster Bandar Baru Kubang Kerian 344 orang disaring dalam kalangan pekerja sebuah institusi kewangan di Kota Bharu dan kontak rapat kes kes positif itu dan 34 daripadanya disahkan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Kluster Jalan Tun Ismail Kuala Lumpur menyaksikan seorang kakitangan sebuah premis perkhidmatan awam yang disahkan positif pada 2 April lalu hasil saringan individu bergejala.

Menurutnya, seramai 32 individu disaring dan 15 daripadanya dikesan positif bagi kluster tersebut.

Manakala kluster selebihnya menyaksikan pekerja tempat kerja, kawasan perindustrian, peruncitan dan sebagainya, katanya.

Menyentuh mengenai maklumat terkini kluster di negara ini, Dr. Noor Hisham memperincikan sebanyak 1,451 kluster terdapat dalam negara dan 343 kluster masih aktif.

Sementara itu, katanya, sebanyak 1,108 kluster telah ditamatkan termasuk lapan kluster pada hari ini iaitu Kluster Jalan Pria, Kluster Jalan Mega Cemerlang, Kluster Jalan Industri Dua, Kluster Tapak Bina Damar, Kluster Jalan Perusahaan Tiga, Kluster Rantau Tanjung, Kluster Jalan Cochrane, dan Kluster Tapak Bina Lembah Subang.

Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu hari ini adalah 57 kluster. Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Sungai Kluang Empat dengan 30 kes, Kluster Rich Park (28 kes), dan Kluster Kampung Belaoh (24 kes).-MalaysiaGazette