
Mayat mangsa terjejas teruk sehingga tidak dapat dikenal pasti dan ujian DNA diperlukan untuk mengesahkan identiti mereka. Foto AFP
SAO PAULO – Sekurang-kurangnya sembilan orang maut manakala tujuh lagi cedera pada Selasa selepas sebuah kilang bahan letupan meletup di Quatro Barras, sebuah perbandaran di negeri Paraná, selatan Brazil, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Letupan berlaku pada waktu pagi di kemudahan syarikat Enaex Brasil di kawasan perindustrian berhampiran Curitiba, ibu negeri Paraná.
Enaex Brasil dalam satu kenyataan menyenaraikan butiran sembilan mangsa, sambil menyampaikan ucapan takziah serta memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan. Menurut syarikat itu, tujuh mangsa yang cedera telah menerima rawatan di lokasi kejadian.
Kementerian Buruh Brazil telah melancarkan siasatan terhadap aspek keselamatan di ibu pejabat syarikat berkenaan.
Setiausaha Keselamatan Awam Paraná, Hudson Teixeira berkata, pada sidang media bahawa mayat mangsa terjejas teruk sehingga tidak dapat dikenal pasti dan ujian DNA diperlukan untuk mengesahkan identiti mereka.
Beliau berkata letupan berlaku ketika sekumpulan pekerja sedang mengendalikan bahan letupan yang hendak dimuatkan ke dalam sebuah lori. – Bernama/Xinhua