RAMADAN bukan sekadar bulan ibadah, tetapi inilah saatnya untuk kita mengambil peluang membersihkan jiwa, mendekatkan diri kepada Ilahi dan meraih nikmat tidak ternilai di dalamnya.
Tidak hairanlah mengapa bulan mulia itu begitu dinanti-nantikan oleh umat Islam saban tahun kerana kelebihan yang ada padanya.
Bahkan, bulan agung itu turut menjadi saksi kepada banyak peristiwa besar dalam lipatan sejarah.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada Khamis, jabatan mufti itu menyenaraikan sembilan peristiwa penting yang berlaku sepanjang Ramadan.
Berikut perinciannya:
1. Turunnya al-Quran.
Ia sebagaimana ditegaskan dalam ayat ke-185 surah al-Baqarah yang mana ALLAH SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

RAMADAN ialan bulan al-Quran diturunkan. -Foto: CANVA
Bukan sahaja al-Quran, semua kitab-kitab ALLAH SWT terdahulu diturunkan dalam bulan Ramadan.
2. Malaikat Jibril AS menemui Rasulullah SAW kali pertama di Gua Hira’.
Diceritakan bahawa pada bulan Ramadanlah kali pertama Malaikat Jibril AS menyampaikan dan mengajarkan kandungan ayat pertama hingga kelima surah al-’Alaq.
3. Berlaku lailatulqadar.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Dalam bulan Ramadan, terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang terlepas daripadanya, maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia benar-benar rugi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

LAILATULQADAR menjadi malam istimewa yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan hanya berlaku ketika bulan Ramadan. -Foto: CANVA
4. Kejayaan tentera Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW menawan kota Makkah.
Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan tahun 8 Hijrah.
Memetik portal berita nu.or.id, peristiwa Fathu Makkah menjadi titik penting dalam sejarah Islam yang mana kemenangan itu membuka jalan bagi penyebaran Islam lebih luas dan memperkukuh kesatuan umat.
5. Perang Badar.
Menerusi satu hantaran yang pernah dikongsikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Itulah perang pertama dalam Islam.
Badar sebenarnya merupakan nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dengan Makkah.
Meskipun jumlah tentera Islam sedikit iaitu 313 orang yang diketuai oleh Rasulullah SAW berbanding 1,000 tentera Musyrikin yang lengkap bersenjata, tetapi pasukan Muslimin berjaya memenangi pertempuran itu.

RAMADAN menjadi saksi kemenangan tentera Islam dalam beberapa peperangan termasuk Perang Badar iaitu perang pertama dalam Islam. -Foto: CANVA
6. Peristiwa pembunuhan Saidina Ali RA oleh seorang Khawarij.
Menurut zulkiflialbakri.com, kejadian menyedihkan itu berlaku pada malam Jumaat 15 Ramadan tahun 40 Hijrah.
Sebelum kejadian, tiga orang daripada kalangan Khawarij melakukan intipan terhadap Saidina Ali RA.
Saat khalifah Islam keempat itu keluar untuk mengerjakan solat Subuh, Ibnu Muljam melibas pedangnya ke atas ubun-ubun Saidina Ali.
Beliau akhirnya meninggal dunia dua hari kemudian.
7. Tariq bin Ziad berjaya menawan Sepanyol.
Peristiwa itu berlaku pada tahun 92 Hijrah dalam bulan Ramadan.
Pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, pembukaan kota Andalusia itu menjadi permulaan kejayaan Islam membina ketamadunan di Barat melalui Andalusia di bawah pimpinan Tariq.
Kemenangan itu membuka ruang kepada pasukan Islam untuk terus menguasai Andalusia dan meneruskan penguasaan ke Cordoba dan Toledo.

RAMADAN bukan sekadar bulan untuk meningkatkan amalan rohani, tetapi juga menjadi bulan yang membuktikan kekuatan iman dan kegemilangan peradaban Islam. -Foto: CANVA
8. Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol dalam peperangan Ain Jalut.
Ia berlaku pada tahun 658 Hijrah dalam bulan Ramadan yang melibatkan pertempuran hebat antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tentera Mongol begitu terkenal dengan kekuatan mereka dari sudut ketenteraan memandangkan sifatnya yang hidup secara nomad, sekali gus membentuk kekuatan fizik mereka.
Namun akhirnya, kemenangan berpihak kepada tentera Islam, sekali gus mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol.
9. Tentera Mesir dapat menawan dan menghancurkan kubu kuat Israel di Gaza yang dikenali sebagai Bar Lev Line.
Menurut pakar tentera barat, kubu itu ialah satu kubu terkuat dalam sejarah ketenteraan pada zaman moden yang tidak boleh dikalahkan kecuali dengan senjata atom.
Melihat kepada semua peristiwa besar itu, kata Jabatan Mufti Negeri Sembilan, jelas bahawa Ramadan bukan sekadar bulan untuk meningkatkan amalan rohani, tetapi juga menjadi bulan yang membuktikan kekuatan iman dan kegemilangan peradaban Islam.
“Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada sejarah ini dan terus memperkukuhkan keimanan serta memperjuangkan amal kebaikan di dunia,” coretnya.