am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di 16 premis rumah kedai dan kediaman di Taman Johor Jaya, di sini, semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka ditahan dalam Operasi Sapu yang dijalankan pada jam 12.10 malam.
Menurutnya, kesemua PATI terbabit berusia antara 20 hingga 49 tahun.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, 12 lelaki Myanmar, 11 lelaki Pakistan, lapan lelaki Bangladesh, 12 wanita Myanmar dan empat wanita Indonesia.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Rusdi berkata, pihaknya melancarkan operasi itu bagi membanteras kehadiran PATI dan ia dijalankan hasil risikan serta aduan awam mengenai kehadiran mereka yang tinggal di kawasan rumah kedai dan kediaman terbabit.
“Serbuan mengejut itu dijalankan ketika semua warga asing terbabit sedang berehat di rumah kedai yang dijadikan sebagai tempat tinggal dan ada antara mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi di bahagian atas bumbung, namun berjaya diberkas,” katanya.
Beliau berkata, semua PATI terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini, untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




