riadz@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Walaupun menjadi mangsa kecaman di media sosial, penyanyi Search, Datuk Amy, 66, tetap ikhlas memaafkan semua netizen terbabit.
Amy ketika dihubungi berkata, dia tidak membaca semua komen itu dan menganggap komen negatif adalah perkara biasa.
“Mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka tulis dan komen. Saya ampun dan maafkan mereka dari hati yang paling dalam. Semoga Allah kurniakan yang terbaik buat mereka, malah lebih baik daripada aku,” katanya kepada Harian Metro.
Amy berkata demikian ketika ditanya mengenai kecaman diterima menerusi video di Facebook yang kononnya dia gagal menyanyikan lagu Pawana dengan baik ketika Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena, di sini, Sabtu lalu.
Menurut Amy, sejak Search mula-mula membawakan muzik rock & roll lebih 40 tahun lalu, mereka sudah menerima banyak komen negatif berbanding positif, namun mereka tetap teruskan pelayaran muzik itu dan percaya dengan diri sendiri.
“Impian besar datang dengan dugaan yang besar. Dan, konsert ini juga satu lagi impian.
“Saya berbesar hati dengan dugaan. Saya orang seni dan kerja saya menggembirakan hati orang. Bukan menyanyi saja, tetapi bergambar pun menggembirakan hati orang juga. Namun, saya tak boleh gembirakan semua orang dan itu kekurangan saya,” katanya.
Amy berkata, dia tidak tahu bila dia akan berhenti menyanyi kerana itu hanya Tuhan yang tahu.
“Buat masa ini saya hanya ingin mewarnai pelayaran seni seindah mungkin dan banyak-banyak bersyukur atas kurniaan-Nya,” katanya.
Terdahulu, konsert yang menggabungkan Search dengan orkestra yang dipimpin Datuk Mokhzani Ismail itu berjaya menarik lebih 3,000 penonton.
Dalam konsert itu, Search turut bekerjasama dengan penggubah muzik antarabangsa yang pernah bersama Beyonce iaitu Rie Tsuji.
© New Straits Times Press (M) Bhd




