nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: “Alhamdulillah saya bersyukur akhirnya usaha kami sekeluarga tidak sia-sia dan mendapat perhatian sehingga siasatan akan dibuka semula.”
Demikian luahan Ruhani Hussin, 70, ibu kepada pelajar tahfiz Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013.
Dia berkata, sebagai seorang ibu yang menuntut pembelaan semestinya dia cukup gembira apabila dimaklumkan siasatan terhadap anaknya akan dibuka semula.
“Saya dimaklumkan menerusi laporan media kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa kes anak saya dibuka semula.
“Sudah tentu saya cukup gembira kerana ini yang saya perjuangkan selama ini dan semestinya saya mahu pelaku anak saya dibawa ke muka pengadilan.
“Kenyataan menteri juga menyaksikan usaha saya selama ini tidak sia-sia dan ini doa saya setiap waktu,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama katanya, dengan kenyataan pelbagai pihak berhubung kematian anaknya itu, dia berharap pelaku yang mendalangi kes anaknya itu tidak akan hidup dengan tenang.
Terdahulu media melaporkan, polis akan membuka semula kertas siasatan kematian Wan Ahmad Faris yang dipercayai di bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013.
Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menegaskan tiada masalah untuk membuka semula kertas siasatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd