PHNOM PENH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kepada rakyat Malaysia di Kemboja, bahawa Malaysia akan membuka sempadannya tidak lama lagi, seterusnya memudahkan proses perjalanan terutama bagi mereka yang menetap di luar negara.
Perdana Menteri berkata, varian Omicron telah menyebabkan rancangan Malaysia untuk beralih ke peringkat endemik tertangguh, akhirnya turut melambatkan proses pembukaan sempadan.
“Kita hampir mengumumkan Malaysia telah memasuki peringkat endemik tetapi pada Disember 2021 varian Omicron, yang merebak pantas telah dikesan.
“Omicron ini tidak seteruk Delta. Ia cepat merebak tetapi tidak begitu berbahaya seperti Delta,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, malam tadi.
Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup dengan COVID-19.
“Kita perlu menerimanya (COVID-19) sebagai penyakit lain seperti denggi,” katanya.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kes COVID-19 di Malaysia telah mencecah kira-kira 27,000 setiap hari, namun majoriti kes adalah kategori 1 dan 2 berikutan kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini.
“Saya tahu ramai di antara anda tidak sabar untuk pulang ke rumah. Saya difahamkan ada di antara anda yang sudah hampir dua tahun tidak pulang ke rumah.
“Jadi dalam waktu yang terdekat, kita akan mula buka sempadan kita untuk seluruh dunia dan tuan-tuan boleh balik ke Malaysia,” katanya.
Ada kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja dengan 2,000 daripada mereka berada di sekitar ibu kota, Phnom Penh.
Ismail Sabri berkata, pembukaan sempadan negara adalah penting kerana ramai yang terkesan dengan penutupan sejak dilanda pandemik COVID-19 terutama yang terbabit dalam sektor pelancongan.
“Oleh itu, kita akan membukanya kembali. Sekatan pergerakan rakyat memberikan impak yang besar buat setiap individu,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata awal suku kedua tahun ini adalah garis masa realistik untuk pembukaan semula sempadan negara.
Turut hadir pada makan malam tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif; Duta Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim dan Menteri Kanan Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Othsman Hassan.
Othsman juga adalah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di Kemboja. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd