farid_noh@bh.com.my
MUAR: Kerajaan tidak bercadang membuka pintu sempadan negara buat masa ini, walaupun ia memudahkan pergerakan rakyat dan mampu membantu memulihkan kembali ekonomi negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, langkah ini diambil bagi mengekang kesan penularan wabak COVID-19 yang amat besar.
Beliau berkata, terdapat permintaan dibuat sesetengah pihak untuk membuka pintu sempadan, namun perkara itu adalah keputusan yang amat sukar untuk dilakukan buat masa ini.
“Sempadan negara kita masih kekal ditutup, walaupun ada rayuan daripada sesetengah pihak supaya dibuka untuk membolehkan pergerakan, namun kita menimbang dari pelbagai sudut.
“Mungkin kalau buka terlalu awal akan jadi masalah, tetapi kalau tidak dibuka langsung pun seperti sekarang juga menjadi masalah.
“Ini pertimbangan yang agak sukar yang terpaksa saya buat ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika merasmikan Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, di Masjid Jamek Simpang 5 Darat, di Bukit Gambir, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Awal Mei ini, Muhyiddin dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Singapura bagi berjumpa rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dan pada pertemuan rasmi itu, kedua-dua negara dijangka membincangkan kebenaran khas rentas antara kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir berkata, beliau khuatir pembukaan pintu sempadan negara akan membawa masuk kes COVID-19 daripada varian baharu yang lebih ganas seperti terjadi di beberapa negara termasuk India dan Brazil.
“Malah, dalam mesyuarat MKN semalam, kita buat keputusan untuk menghalang kemasukan warganegara India bagi memastikan varian dari negara itu tidak menjangkiti pula rakyat negara ini dan meletakkan Malaysia dalam keadaan mencabar,” katanya.
Muhyiddin berkata, rentas negeri juga tidak dapat dibenarkan buat masa ini berikutan data diperoleh dan dianalisis, menyaksikan penularan COVID-19 akibat rentas negeri, adalah tinggi.
“Berdasarkan data yang kita kumpul (aktiviti) disebabkan rentas negeri antara faktor menyumbang kepada penularan wabak COVID-19, sebab itu kita masih kawal (kecuali) rentas daerah kita benarkan,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, menguruskan COVID-19 adalah amanah paling mencabar sejak beliau berada dalam kerajaan dan menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Saya pernah berada dalam banyak pentadbiran kerajaan sejak dulu dan tidak pernah saya saksi serta tanggung beban sebegini. Allah uji saya dan uji kita semua.
“Insya-Allah negara kita akan kembali kepada sedia kala dan menjadi lebih maju serta berjaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




