saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Menjelang ulang tahun ke-80, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus berdiri sebagai tonggak utama perlindungan sosial negara.
Agensi itu tanpa henti memikul amanah menjaga golongan rentan yang paling rapuh dalam masyarakat serta menyalurkan bantuan bersesuaian.
Pada masa sama, JKM bertanggungjawab menguruskan lapan golongan rentan termasuk kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, mangsa keganasan rumah tangga, pesalah muda, mangsa pemerdagangan manusia, golongan papa serta mangsa bencana.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, tugas JKM jauh lebih kompleks berbanding persepsi umum bahawa agensi ini hanya menyediakan bantuan kewangan.
“Ramai ingat JKM hanya tempat memohon bantuan wang, tetapi sebenarnya kami menyantuni lapan kelompok rentan yang semuanya sama penting.
“Dalam JKM, tidak wujud siapa nombor satu atau nombor lapan, bagi kami, semua adalah nombor satu.
“Antara tanggungjawab paling besar ialah pengurusan kanak-kanak yang ditempatkan di bawah pelindungan JKM, termasuk bayi yang ditinggalkan, mangsa penderaan dan pengabaian, serta kanak-kanak yang kehilangan penjaga akibat kemalangan,” katanya.
Che Murad Sayang berkata, terdapat lebih 40 institusi kanak-kanak di seluruh negara yang menempatkan sekitar 1,500 hingga 1,600 anak jagaan berusia sehari hingga 18 tahun.
Beliau berkata, kanak-kanak ini dibesarkan sepenuhnya oleh JKM, termasuk makan minum, pendidikan, penjagaan kesihatan dan sokongan emosi.
“Kalau bayi itu dijumpai hari ini, kita jaga dia daripada hari pertama sampai umur 18 tahun.
“Mereka dibesarkan seperti anak sendiri, dimandikan, disuap, dihantar sekolah, diberi tuisyen, orang luar nampak ringkas, tapi realitinya sangat berat.
“Setiap tahun, remaja di bawah jagaan JKM akan mencecah usia 18 tahun dan terpaksa keluar daripada institusi, menjadikan usaha memperkasakan mereka sebagai keutamaan jabatan,” katanya.
Menurutnya, JKM mempunyai dua fokus utama iaitu laluan akademik dan latihan kemahiran.
Katanya, usia 18 tahun bukan usia matang untuk berdepan kehidupan yang keras, jadi, JKM memberikan penekanan terhadap dua perkara iaitu akademik dan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Bagi anak-anak yang cemerlang akademik, kita bantu ke universiti, bagi yang kurang kecenderungan, kita salurkan kepada aliran kemahiran.
“JKM kini bekerjasama rapat dengan Majlis TVET Negara, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta pelbagai institusi kemahiran agar anak jagaan dapat memperoleh kemahiran baharu dan berdikari.
“Kami tidak mahu mereka bergantung kepada bantuan selama-lamanya, kalau ada kemahiran seperti baiki penghawa dingin atau elektrik, mereka boleh jana pendapatan sendiri,” katanya.
Dalam aspek bantuan kewangan, Che Murad Sayang berkata, hampir 600,000 penerima menikmati pelbagai skim JKM setiap tahun, termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan OKU dan Bantuan Pesakit Terlantar.
Beliau berkata, setiap permohonan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat membabitkan siasatan, lawatan rumah dan verifikasi pendapatan.
“Semua orang rasa mereka layak, tetapi kita terikat SOP seperti lawatan rumah, semakan pendapatan, pertindihan bantuan dengan zakat atau Baitulmal.
“Bukan boleh lulus begitu sahaja, sistem e-Bantuan JKM juga terus dipertingkat bagi mempercepat urusan serta membolehkan pemohon mengisi maklumat awal secara digital, manakala mereka yang tidak mahir teknologi tetap dibantu di kaunter,” katanya.
Menjelang sambutan 80 tahun JKM pada April tahun hadapan, Che Murad Sayang berharap masyarakat lebih memahami realiti kerja kebajikan.
“Kerja kebajikan bukan mudah, tidak ada siapa paling hebat, tetapi semua perlu berganding bahu.
“Matlamatnya satu, memastikan golongan rentan dapat hidup dengan lebih bermaruah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




