harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Semua lorong di Kilometer (KM) 9.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) masih ditutup setakat jam 8.28 malam ini, susulan hujan lebat dan kejadian banjir hari ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu hantaran di X memaklumkan, semua lorong arah ke utara masih terhalang dan trafik dari Bukit Raja dilencongkan ke Plaza Tol Setia Alam, manakala kenderaan menuju ke Subang diminta membuat pusingan U di KM8.5 arah utara.
Sementara itu, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang masih sesak dan bergerak perlahan, antaranya Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari Persiaran Kewajipan hingga Plaza Tol Sunway dan Kinrara ke susur Puchong Jaya menuju ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan bagi arah utara dari USJ menuju ke Ebor serta dari Seafield ke Shah Alam.
Bagi Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), pergerakan kenderaan turut perlahan di laluan arah selatan dari Salak Jaya ke Persimpangan Kuchai.
Sementara itu, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) merekodkan aliran perlahan di beberapa laluan merangkumi arah selatan dari Jalan Bangsar ke Pantai Dalam, arah barat dari Sunway Pyramid ke Persiaran Jengka, serta arah timur dari Maju Jaya ke Jalan Templer susulan insiden kemalangan di KM 7.3.
Keadaan trafik perlahan turut berlaku di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) membabitkan arah utara dari Jalan Majlis ke Bandar Utama, arah timur dari USJ ke Plaza Tol Puchong Barat, serta arah selatan dari TTDI ke IOI Puchong dan dari Bandar Puteri Puchong ke Puchong Perdana.
Selain itu, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) mencatatkan aliran perlahan di laluan arah selatan dari Persiaran Jubli Perak ke Alam Impian.
Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX) arah selatan dari Kuchai Lama ke Bukit Jalil serta Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT) arah timur dari Jalan Maarof ke Semantan turut sesak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




