Jakarta: Kerajaan Indonesia meminta syarikat pertahanan milik kerajaan, Pindad mengeluarkan 5,000 unit model kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya, Maung untuk anggota Kabinet dan pegawai eselon-1, lapor Jakarta Globe.
Ketua Pejabat Staf Presiden, AM Putranto berkata, pengeluaran 5,000 SUV Maung perlu disiapkan dalam tempoh 100 hari bekerja.
“Semua anggota Kabinet diberi mandat untuk menggunakan kereta itu.
“Sasaran kami ialah memperoleh 5,000 unit selepas 100 hari bekerja dan jumlah itu akan ditambah kepada 10,000 unit selepas itu,” kata Putranto di kompleks badan perundangan di sini, baru-baru ini.
Putranto berkata, 70 peratus komponen Maung dibina secara tempatan, manakala selebihnya termasuk platform, enjin dan casis adalah sumber luar daripada pembuat kereta asing seperti Mercedes-Benz dan SsangYong.
Katanya, SUV tempatan akan diberi keutamaan kepada pegawai tinggi kerajaan pusat, sambil menambah perolehan untuk pegawai kerajaan tempatan akan diatur kemudian.
Menurut Putranto, kapasiti pengeluaran semasa di Pindad yang berpangkalan di Bandung tidak dapat memenuhi keseluruhan permintaan untuk kegunaan kerajaan di semua 38 wilayah.
Menteri Agraria dan Perancangan Ruang Nusron Wahid adalah antara anggota Kabinet pertama yang mengesahkan tempahan untuk kenderaan Maung.
Dia juga bercakap secara langsung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pindad, Abraham Mose dan membuat tempahan untuk 11 SUV Maung.
“Kami mempunyai sembilan pegawai eselon-1, seorang menteri, dan seorang naib menteri, jadi kami memerlukan sekurang-kurangnya 11 kenderaan,” kata Nusron.
Semasa berundur daripada Kabinet di Magelang minggu lalu, Presiden Prabowo Subianto memberi mandat kepada semua pembantunya untuk menukar kereta import mereka kepada kenderaan Pindad.
Maung pada asalnya direka sebagai kenderaan taktikal untuk tentera dengan kelajuan maksimum 120 kilometer sejam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




