PUTRAJAYA: Semua pengembara Malaysia yang terkandas di negara Asia Barat digesa berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan jadual penerbangan dan pelarasan laluan terkini memandangkan situasi serangan tidak menentu ketika ini.
Kementerian Luar memaklumkan, sejak pemakluman terdahulu, Perwakilan-perwakilan Diplomatik juga telah menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara akibat pembatalan penerbangan.
Dalam situasi ini, Wisma Putra mengesahkan semua individu yang dihubungi kekal selamat.
“Pada masa pemakluman ini, Perwakilan-perwakilan kami sedang menghulurkan bantuan atau sedang berhubung dengan rakyat Malaysia yang terkandas, antara lainnya di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya sedang giat menyelaraskan usaha-usaha konsular,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Kementerian Luar Negeri sedang memantau secara berterusan perkembangan persekitaran keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat dan sedang melaksanakan tindak balas konsular yang diselaraskan.
“Keutamaan mutlak kami kekal terhadap keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di negara-negara yang terjejas.
“Kementerian menggesa semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, mengelakkan penyebaran khabar angin yang tidak ditentusahkan, dan hanya bergantung kepada sumber berita rasmi serta saluran rasmi Kementerian untuk mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian dengan tegas menasihatkan semua rakyat Malaysia agar menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke rantau tersebut pada masa terdekat.
Mereka yang berada di negara terlibat diminta mendaftar keberadaan mereka dengan segera melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my untuk memudahkan komunikasi dan bantuan.
“Patuh arahan pihak berkuasa tempatan secara ketat, berlindung di tempat yang selamat jika dinasihatkan, dan sentiasa mengikuti laman media sosial rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk kemas kini tempatan semasa,” katanya.
Bagi mendapatkan bantuan kecemasan konsular, rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian secara terus di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di [email protected]. – UTUSAN



