bhnews@bh.com.my
PENAMPANG: Selepas 36 jam, suspek keempat yang lari dari pusat kuarantin COVID-19 di Pusat Kuarantin Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) ditahan semula di Kilometer 3, Jalan Papar Spur di Papar, jam 2.20 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata tahanan terbabit diberkas hasil maklumat awam dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
“Dengan penahanan suspek terakhir ini, kes ini yang dilaporkan jam 3.30 pagi semalam, selesai. Oleh itu, kami berterima kasih kepada masyarakat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya tahanan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Haris berkata, semua empat tahanan yang ditahan semula akan diambil tindakan pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, Mohd Haris turut menasihati orang ramai yang mempunyai kontak rapat atau pernah bertemu dengan empat tahanan berkenaan supaya membuat ujian saringan COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd




