'Semuanya senyap, hanya bunyi senjata dan kematian'

'Semuanya senyap, hanya bunyi senjata dan kematian'

Gaza: “Saya terdengar suara mereka buat kali terakhir sebelum semuanya senyap… hanya bunyi senjata dan kematian.”

Itu detik mengerikan yang tidak akan pernah dilupakan oleh petugas perubatan Bulan Sabit Merah Palestin, Mundhir Abed, 45. Dia satu-satunya mangsa terselamat dalam serangan berdarah tentera Israel ke atas konvoi penyelamat berhampiran Rafah, di selatan Gaza, bulan lalu.

Serangan pada 23 Mac lalu itu mengorbankan 15 petugas termasuk anggota Bulan Sabit Merah Palestin dan agensi pertahanan awam Gaza yang dalam perjalanan memberi bantuan kecemasan selepas serangan udara Israel.

“Saya takut mereka akan bunuh saya. Saya bersama pemandu, Mustafa al-Khawaja dan paramedik, Ezzedine Shaat dalam ambulans pertama menuju ke lokasi.

“Siren berbunyi, lampu tanda kecemasan sentiasa berkelip… tetapi sebaik tiba, peluru bertalu-talu menembusi kenderaan,” katanya dalam keadaan masih trauma kepada AFP.

Menurut Mundhir, dia sempat menjatuhkan diri ke lantai belakang ambulans untuk menyelamatkan diri, sebelum keadaan menjadi sunyi.

“Tiada lagi suara dari rakan-rakan saya… hanya bunyi nyawa yang terhenti,” katanya.

Lebih memilukan, Mundhir berkata, pintu ambulans kemudiannya dibuka oleh sekumpulan tentera khas Israel bersenjata lengkap yang terus mengheretnya keluar.

“Mereka paksa saya meniarap, lucutkan pakaian saya, soal siasat sambil memukul dengan senjata pada bahagian belakang, dada dan kaki,” katanya.

Dia turut melihat rakannya, Asaad al-Mansoura yang turut dilucutkan pakaian, mata ditutup dan sedang melutut. Sejak itu, tiada khabar mengenai nasib Asaad yang kini dikategorikan hilang.

Serangan itu mencetuskan kecaman antarabangsa dan menimbulkan persoalan terhadap keselamatan petugas kemanusiaan di Gaza, yang terus bergolak sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 mencetuskan operasi ketenteraan besar-besaran oleh Israel.

Seorang pegawai tentera Israel mendakwa tembakan dilepaskan kerana menyangka konvoi berkenaan terdiri daripada “pengganas” yang bergerak dalam gelap tanpa lampu.

Namun, hakikatnya rakaman telefon bimbit dari salah seorang petugas yang maut jelas menunjukkan ambulans bergerak dengan lampu dan siren dihidupkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top