“Senang-Senang Tengok Video Saya” – Syaiful Zero Jawab Tuduhan Kutip Sumbangan Untuk Kegunaan Peribadi

“Senang-Senang Tengok Video Saya” – Syaiful Zero Jawab Tuduhan Kutip Sumbangan Untuk Kegunaan Peribadi

Pelawak popular, Syaiful Zero tampil mempertahankan diri selepas timbul dakwaan kononnya dia mengutip sumbangan secara siaran langsung di TikTok untuk kegunaan peribadi.

Menjawab tuduhan itu menerusi ruangan balas di Threads, Syaiful atau nama sebenarnya Muhammad Syaiful Doli Sharif menegaskan setiap sumbangan yang diterima disalurkan sepenuhnya bagi tujuan infaq dan kebajikan yang dilakukannya secara konsisten setiap minggu.

“Senang-senang tengok video di TikTok saya ya. Terima kasih. Setiap Isnin sampai Khamis saya buat infaq kuih dan nasi lemak 50 bungkus.

“Infaq Jumaat pula, nasi lemak diagihkan ke masjid dan surau. Lebihan duit itu akan diserahkan kepada anak-anak yatim piatu,” katanya.

Dalam masa sama, Syaiful turut memuat naik video memaparkan sendiri proses pengagihan makanan berkenaan sebagai bukti ketelusan.

“Banyak lagi video setiap Jumaat infaq nasi lemak di TikTok. Boleh tengok ya,” katanya lagi.

Terdahulu, dakwaan berkenaan tular di media sosial sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen, namun penjelasan serta bukti yang dikongsikan pelawak itu dilihat meredakan spekulasi yang timbul.

Scroll to Top