MELAKA: Senarai muktamad acara sukan bagi temasya Sukan SEA 2027 termasuk sebarang pertambahan acara dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Muhammad Taufiq Johari berkata, ketika ini proses rayuan oleh beberapa persatuan sukan kebangsaan berhubung cadangan penambahan acara masih dalam perbincangan oleh Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027.
Menurutnya, pihak jawatankuasa terpaksa mengambil banyak pertimbangan daripada pelbagai aspek sebelum membuat keputusan pertambahan acara daripada 38 acara yang telah diputusakan sebelum ini.
“Buat masa ini jumlah acara yang dicadangkan adalah sekitar 38 sukan, namun angka tersebut masih belum dimuktamadkan kerana proses rayuan masih berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok di sini semalam.
Menurut beliau, keputusan akhir akan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk aspek logistik, kemampuan penganjuran serta potensi pencapaian pingat oleh atlet negara.
Dalam pada itu, Muhammad Taufiq berkata, pembahagian venue pertandingan bagi empat kluster penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang juga masih belum dimuktamadkan.
“Senarai acara bagi setiap kluster memang sudah ada dalam perbincangan, namun kita akan umumkan secara rasmi selepas semuanya dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sedang merancang penganjuran Sukan SEA 2027 secara menyeluruh bagi memastikan temasya itu berlangsung dengan lancar selain mampu menjadi antara penganjuran terbaik dalam sejarah kejohanan berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata persiapan atlet negara juga sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui beberapa fasa latihan bagi memastikan kontinjen negara berada pada tahap terbaik menjelang temasya tersebut.-UTUSAN




